“Cikgu jadi barber, doktor, mekap artis, naga” - Bukan niat menunjuk... guru senaraikan kerja di luar bidang tugas buat golongan yang tak nampak

Cikgu Izzudin tidak kekok melayani dan mendidik para pelajarnya seperti anak sendiri.

KECOH di media tempatan termasuk media sosial beberapa hari kebelakangan ini susulan kiriman surat daripada seorang individu yang mempertikaikan tugas guru yang didakwa tidak memantau murid selepas tamatnya waktu persekolahan.

Surat yang dikirim kepada sebuah akhbar tempatan dengan tajuk 'Di mana guru selepas waktu sekolah?' antara lainnya membangkitkan peranan pihak sekolah terhadap pelaksaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan pelajar, ketika penularan wabak Covid-19 masih belum berakhir.

'Keratan' surat berkenaan menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah Hari Guru paling sedih! Penat lelah pendidik dibalas dengan tweet biadab murid – “Remuk hati cikgu-cikgu baca semua”

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan setakat boleh beli cat, mungkin dapat pusat sumber ‘baharu’! Guru rayu sedikit sumbangan terkejut periksa akaun bank

Namun jelas sekali, ia mengundang kecaman warga maya yang menyifatkan pandangan yang disuarakan individu berkenaan amat keterlaluan, seolah-olah mahu meletakkan beban di bahu guru semata-mata.

Bagi mereka yang bergelar guru sendiri, pandangan individu berkenaan sudah tentunya membangkitkan rasa kesal dan kecewa.

Menerusi perkongsian di Twitter, seorang guru memuat naik satu posting yang pastinya memberikan maksud tersirat selepas isu itu kecoh di media sosial.



Posting Cikgu Izzudin menjadi tular di Twitter.

"Rambut budak panjang, cikgu jadi barber. Budak sakit, cikgu jadi doktor. Nak jadi penyanyi, cikgu jadi mekap artis. Kerja rumah tak siap, cikgu jadi naga.

"Selagi ada kudrat, selagi ada daya, akan kami jaga anak kalian sehabis baik. Itu janji kami," demikian kapsyen pada posting tersebut.

Beberapa keping gambar turut dimuat naik di dalam posting tersebut memperlihatkan dirinya sedang melakukan 'kerja-kerja' yang di luar bidang tugasnya sebagai seorang guru.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 10,400 retweet.



Surat daripada seorang individu yang menjadi tular baru-baru ini.

Mengulas isu yang hangat diperkatakan itu, guru berkenaan Mohd Khairul Izzudin Shaari berpandangan tugas mendidik bukan terletak di bahu guru semata-mata, sebaliknya ia perlu dipikul bersama ibu bapa.

"Sebagai guru, untuk SOP ketika Covid-19, memang kami ikut garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan.

"Malah, setiap hari persekolahan, guru-guru akan datang lebih awal sebab kena rekodkan suhu badan murid selain pastikan SOP dipatuhi ketika mereka masuk pagar sekolah.

"Memang guru akan ada pantau daripada murid turun kenderaan ibu bapa, sehinggalah mereka naik semula kenderaan untuk pulang," kata guru berusia 31 tahun ini.

Bukan niat untuk menunjuk, tapi sebenarnya nak beritahu bahawa cikgu ni banyak buat benda-benda yang bukan tugas dia pun.

MOHD KHAIRUL IZZUDIN SHAARI

GURU

Katanya, tugas guru juga semakin mencabar ketika pandemik Covid-19, namun semuanya dikendalikan dengan penuh rasa tanggungjawab.

"Kalau lihat kandungan surat itu, perkara yang dibangkitkan oleh individu berkenaan adalah tugas ibu bapa sebenarnya.

"Tapi bagi saya, mungkin ada baiknya individu berkenaan bawa ke pengetahuan pihak sekolah dulu, atau terus hubungi cikgu. Bukan tiba-tiba bangkitkan spekulasi," katanya yang bertugas di SK Kuala Geris, Kelantan.



Antara aktiviti Cikgu Izzudin dengan para pelajarnya.

Tambah guru ini lagi, postingnya di Twitter hanya sekadar perkongsian kepada masyarakat mengenai peranan lain seorang guru yang tidak pernah dilihat.

"Bukan niat untuk menunjuk, tapi sebenarnya nak beritahu bahawa cikgu ni banyak buat benda-benda yang bukan tugas dia pun.

"Kebanyakan cikgu sanggup keluarkan duit poket sendiri, contohnya hantar pelajar ke klinik dan sebagainya.



Hubungan antara Cikgu Izzudin dengan pelajarnya cukup akrab.

"Bagi saya yang merupakan seorang guru sekolah pedalaman, hubungan dengan pelajar tu memang rapat... gunting rambut pun buatkan sebab mereka mungkin susah nak nak bandar.

"Semua dilakukan seperti melayan anak sendiri. Macam mana kita nak anak kita berjaya, macam itulah kita didik pelajar kita," ujarnya mengakhiri bicara.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain