Kecoh! Warga emas patah balik rumah redah highway 2km lawan arus, puncanya tak bawa kad Touch n Go! Padah 2 kereta jadi mangsa - “Jarang Myvi tak perform”

Kereta Kelisa yang dipandu seorang warga emas secara melawan arus sejauh 2 km di LKSA sehingga mengakibatkan dua kemalangan berlaku.

NEKAD memandu secara melawan arus sejauh dua kilometer!

Demikian tindakan seorang pemandu kereta model Perodua Kelisa yang gelagatnya dirakam oleh seorang pengguna jalan raya, di mana klip video berkenaan tular sejak Khamis malam.

Menerusi klip video berdurasi 1 minit 13 saat itu, kelihatan kereta berkenaan dipandu secara melawan arus dalam kelajuan yang minima di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf, saya tak cekap beri isyarat sempurna” - Rider lawan arus bersama Toyota Vios beri penjelasan, niat nak tolong tak sangka terbabas

ARTIKEL BERKAITAN: Mercedes terangkat dihentam Viva, budak perempuan tunjuk samseng keluar kereta tepuk bonet - “Macam gangster walhal bapa dia memandu tak betul”

Menurut pengguna yang merakam insiden tersebut, dia cuba mengejar kereta berkenaan selepas pemandunya terlibat dengan satu kemalangan dan cuba untuk melarikan diri.

"Saya tengah kejar dia.... ini berhampiran Balai Bomba Seksyen 15 (Shah Alam). Kau dah langgar orang, kau lari... kau lawan arus lagi. Dah dua kilometer dia lawan arus... dua kilometer! Bukan dekat-dekat," demikian kata pengguna tersebut dalam nada marah.

Menerusi video tersebut juga, kelihatan pemandu berkenaan beberapa kali memberhentikan keretanya di lorong paling kanan laluan bersebelahan.

Klip video berkenaan berakhir apabila kereta Kelisa itu berhenti seketika sebelum ia bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang tidak sempat mengelak.

Perlanggaran itu menyebabkan bahagian hadapan kedua-dua kereta berkenaan kelihatan sedikit remuk.



Kereta Kelisa tersebut bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

Difahamkan, insiden yang berlaku kira-kira pukul 5 petang Khamis itu berpunca daripada pemandu Kelisa yang juga seorang warga emas berusia 73 tahun tidak mempunyai kad prabayar Touch n Go.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan berkata, akibat ketiadaan kad prabayar itu, warga emas tersebut bertindak melawan arus untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 8 melalui Plaza Tol Sri Muda.

Difahamkan jarak rumah pemandu tersebut dengan plaza tol berkenaan adalah kira-kira 14 kilometer.

Sekali Abang Long Myvi langgar terus berhenti... kau siapa nak lawan Myvi?

NETIZEN

Menurut Baharudin, warga emas tersebut dalam perjalanan menuju ke pasaraya Tesco di Seksyen 13 dari rumahnya, namun telah tersalah jalan dan memasuki LKSA sebelum menyedari dia tidak mempunyai kad prabayar, lalu berpatah balik.

Tindakan tersebut menyebabkan sebuah kenderaan jenis Honda City terbabas selepas cuba mengelak Kelisa yang dipandu warga emas tersebut.

Bagaimanapun warga emas tersebut meneruskan pemanduan secara melawan arus sebelum dirempuh oleh Perodua Myvi di lebuh raya sama.

Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan polis telah menahan warga emas berkenaan. Pemandu itu disiasat di bawah Sek 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu.



Antara komen-komen netizen terhadap insiden berkenaan.

Insiden berkenaan yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan netizen yang rata-ratanya mengecam pemandu Kelisa tersebut.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang meninggalkan komen lucu berbaur sindiran yang mengaitkan kereta Myvi sebagai 'penyelamat' kerana berjaya 'menghentikan' kereta Kelisa yang dipandu warga emas tersebut.

"Jarang betul Myvi tak perform.... patut masuk pasaran luar negara," komen seorang netizen.

"Sekali Abang Long Myvi langgar terus berhenti... kau siapa nak lawan Myvi?" komen seorang lagi netizen.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain