Baju jadi ‘mangsa’, banyak doh ‘dikerjakan’ tapi roti canai masih tak terbang! Pelajar tak mahu biasa-biasa macam ayah, akhirnya jadi pakar penebar

Muhammad Muiz berlatih menebar roti canai 'terbang' di kedai makan milik bapanya. -foto ihsan Muhammad Muiz Ruzaini

PENEBAR roti canai, mungkin bukan satu pekerjaan pilihan buat anak-anak muda hari ini.

Namun, tidak bagi seorang remaja yang mengimpikan untuk melakukan kerja itu tapi dengan cara yang luar dari kebiasaan.

Impiannya yang bermula dari angan-angan untuk menjadi 'penebar roti canai terbang' mendapat perhatian apabila berkongsi transformasi menerusi video TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak rasa comel pun... saya minat lagu rock, heavy metal" - Penangan suara peniaga apam balik... kanak-kanak ketawa, orang dewasa sampai kejar van

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu upah gunting rambut kawan buat duit makan di kantin sekolah, kini graduan U ini bukan sahaja senior barber tapi ada 3 skil lain... Power!

Bercakap kepada mStar, remaja berkenaan, Muhammad Muiz Ruzaini berkata keinginannya itu timbul sejak kecil apabila bapanya mengusahakan sebuah kedai makan di Pokok Sena, Kedah.



Mula membantu bapa menebar roti canai pada usia 13 tahun.

Anak muda berusia 17 tahun itu memberitahu, dia turut membantu dalam perniagaan bapanya yang juga menjual roti canai.

"Tapi memandangkan saya masih kecil ketika itu belajar di sekolah rendah, jadi saya tolong-tolong ayah ambil pesanan, kemaskan meja dan angkat cawan dan pinggan.

"Ayah tebar roti canai tapi biasa-biasa, tak ada yang lempar tinggi ke udara macam 'terbang' tu. Saya pula dah pasang hajat nanti nak jadi pakar roti canai terbang," katanya.



Sanggup berlatih sebelum kedai dibuka awal pagi.

Muhammad Muiz berkata, dia mula menebar roti canai di kedai bapanya ketika berada di tingkatan satu, namun hanya melakukannya ketika cuti hujung minggu kerana belajar di asrama.

"Setiap kali pulang bercuti, saya bantu ayah dan cuba belajar tebar roti canai yang boleh 'terbang'. Tak tahu kenapa saya minat, bukannya rasa lain roti canai tu.

"Bagi saya, ia sebagai satu kepuasan dan paling penting, saya mahu aksi menebar roti canai terbang tu menarik perhatian pelanggan," ujarnya yang berasal dari Pokok Sena.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, percubaan awalnya gagal sehingga memaksanya untuk belajar dengan menonton video-video di laman YouTube.



Menjadi johan dalam pertandingan menebar roti canai di Alor Setar.

Dia yang kini belajar di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar menjelaskan bahawa selain adunan tepung (doh) untuk roti canai, dia juga mempelajarinya menggunakan tuala kecil.

"Sebelum ni pakai doh untuk roti canai, tapi tak menjadi sampai habis satu bekas. Mujur tak jatuh ke lantai atau melekat di siling, yang penting tak kena pelanggan!

"Saya dulu malu berlatih depan pelanggan, jadi saya buat di rumah guna tuala kecil atau pakai doh sebelum kedai ayah buka pukul 7 pagi atau tutup 2 petang sebab masa tu pelanggan dah tak ada," ujarnya secara berseloroh.

Sebelum ni pakai doh untuk roti canai, tapi tak menjadi sampai habis satu bekas. Mujur tak jatuh ke lantai atau melekat di siling, yang pentang tak kena pelanggan!

MUHAMMAD MUIZ RUZAINI

Siapa sangka, remaja yang pemalu ini pada mulanya akhirnya menunjukkan keberanian untuk berlatih 'menebar roti canai' di hadapan orang ramai bermula di asrama.

"Saya berlatih di bilik mandi guna baju-baju yang saya basuh. Kawan-kawan gelakkan saya sebab lucu tapi mereka memberi semangat kepada saya.

"Pada tahun lepas, saya masuk pertandingan menebar roti canai di Alor Setar dan menjadit johan," katanya sambil menambah dia merupakan peserta termuda dalam pertandingan itu.



Muhammad Muiz mengimpikan untuk membuka bisnes kedai makan sendiri.

Walaupun kedai makan yang diusahakan bapanya turut mempunyai menu lain untuk pilihan pelanggan, tetapi Muhammad Muiz tetap mahu menarik lebih banyak perhatian dengan aksinya menebar roti canai ‘terbang’.

"Nasi lemak ada, bihun goreng ada, mi goreng pun ada macam-macam. Tapi puas bila pelanggan yang datang memilih nak makan roti canai bila nampak saya tebar roti.

"Sebab itu saya nak tunjuk cara tebar roti canai terbang, sebab nak tarik perhatian ramai. Ia juga semangat kepada saya untuk membuka bisnes kedai makan sendiri suatu hari nanti... sudah tentu akan ada menu roti canai!" katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain