Kaki hancur ketika hulur pertolongan, bapa pula hidap kanser... lelaki ini berprinsip besarkan 3 anak - “Saya usaha selagi boleh, enggan meminta-minta”

Mohd Sabrie menjalankan perniagaan kerepek dan ikan terubuk masin secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga dan membantu kos perubatan bapanya yang baharu disahkan menghidap kanser usus.

BERSTATUS Orang Kelainan Upaya (OKU), namun itu bukanlah alasan untuk lelaki ini bermalas-malasan mencari rezeki.

Dengan kudrat yang terhad, lelaki ini bersama isterinya mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual aneka kerepek, popia dan juga ikan terubuk masin.

Kisah lelaki ini menjadi tumpuan netizen selepas dikongsi di satu akaun Twitter sehingga meraih 11,200 retweet.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hidap kanser telinga, pakcik OKU gigih berniaga di kaki lima bank... tulis atas kertas minta ‘pakat-pakat tolong’ - “Dia masih fikir orang yang lebih susah”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kaki besi’ tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja!

"Kawan mak aku, OKU dan ayah dia baru disahkan kanser. Dia meniaga kecil- kecilan untuk tampung kos rawatan dan untuk keluarga dia juga.

"Dia jual ikan terubuk masin, Peria Crispy and other things too," demikian kapsyen pada perkongsian tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki berkenaan, Mohd Sabrie Mohamad Brahim berkata dia dan isterinya sudah empat tahun mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan iaitu sejak dirinya berstatus OKU.



Mohd Sabrie bersama isteri menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk membesarkan tiga anak mereka.

"Isteri saya yang akan membuat dan menyediakan kerepek-kerepek ini, manakala tugas saya lebih kepada promosi di media sosial, membungkus dan mengepos. Tapi saya masih tak boleh bergerak sendiri untuk mengepos, ada kala terpaksa minta tumpang jiran.

"Inilah satu-satunya sumber pendapatan keluarga kami selepas saya tidak lagi mampu aktif bekerja seperti sebelum ini. Sebelum ini saya ambil kontrak buat pendawaian, namun tidak lagi mampu dengan keadaan sekarang yang hanya sebelah kaki," kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Sabrie berkata dia kehilangan kaki kiri sehingga ke paras pangkal paha kerana ditimpa kecelakaan jalan raya, lima tahun lalu.

Selain parah pada kaki kiri, saya juga mengalami kecederaan serius pada kepala di mana doktor cadangkan saya buat pembedahan namun saya belum bersedia kerana risikonya tinggi.

MOHD SABRIE MOHAMAD BRAHIM

PENIAGA

"Ketika kejadian pada waktu malam itu, saya membantu seorang pakcik menukar tayar kenderaannya. Secara tiba-tiba sebuah lori menghentam dari belakang.

"Kejadian itu menyebabkan tulang kaki kiri hancur. Selama berbulan-bulan berulang alik ke hospital dan sehingga kini saya sudah menjalani pembedahan sebanyak empat kali.

"Selain parah pada kaki kiri, saya juga mengalami kecederaan serius pada kepala di mana doktor cadangkan saya buat pembedahan namun saya belum bersedia kerana risikonya tinggi tambahan pula anak-anak masih kecil. Saya bimbang nanti keadaan akan lebih sukar untuk isteri dan anak-anak," katanya yang menetap di Miri, Sarawak.

Lebih menambahkan kegusaran di hatinya, Mohd Sabrie berkata bapanya pula disahkan menghidap kanser usus, baru-baru ini.

"Bapa saya umur 72 tahun dan sudah tidak bekerja... saya ingat, hasil jualan ini sedikit sebanyak dapat membantu bil rawatan hospital. Walaupun tak banyak tapi sebagai anak, saya juga bertanggungjawab membantu ibu bapa yang sudah berusia," kata lelaki berusia 31 tahun ini.



Antara maklum balas pelanggan Mohd Sabrie yang kebanyakannya dari semenanjung Malaysia.

Bercerita mengenai perniagaannya, Mohd Sabrie berkata pendapatannya tidak menentu, yang mana ia bergantung kepada permintaan pelanggan yang bermusim.

"Kami buat mengikut permintaan kerana mahu jamin kualitinya. Kebanyakan pelanggan yang kerap order adalah dari semenanjung... ada dari Kelantan, Kedah. Tapi biasalah, ia ada musimnya.

"Kalau musim perayaan atau menjelang hujung bulan, masa itu yang banyak order. Apabila mendapat respon dan komen yang positif, itu menaikkan lagi semangat kami untuk terus berniaga," katanya.

Mengakui kehidupan mereka sekeluarga agak terjejas selepas dia tidak lagi aktif mencari rezeki seperti sebelumnya, Mohd Sabrie berkata dia menerima keadaan dirinya dan percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah.



Mohd Sabrie berperanan membantu isterinya dalam urusan promosi, membungkus dan mengepos.

"Sebelum ditimpa kemalangan, saya buat company sendiri yang ambil kontrak pendawaian sebab ada kemahiran. Namun hanya sempat buka seketika kerana penghujung Februari 2015, saya kemalangan. Allah bagi pinjam sekejap. Tapi bagi saya ada hikmahnya... mungkin masa sihat dulu sering terlupa kepada-Nya kerana fokus kerja.

"Siapa yang tak runtuh semangat... namun saya jadikan anak-anak sebagai motivasi untuk terus bangkit. Mereka tak kenal lagi erti susah. Saya mahu berikan yang terbaik untuk mereka.

"Saya tetap berusaha selagi boleh, saya enggan meminta-minta. Saya berusaha melalui bisnes kecil ini. Selebihnya saya berserah kepada Allah. Orang yang bermurah hati dan selalu bagi sokongan kepada saya, mudah mudahan dilimpahkan rezeki, dan menjadi saham akhirat untuk mereka," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain