suria

‘Kaki besi’ tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja!

Tumpuan netizen pada 'kaki besi' Danial yang ketika itu menunggang motosikal. Foto Facebook Sepet Vtec

BUKAN penghantar barang biasa-biasa, kehadiran lelaki ini di jalan raya menarik perhatian pemandu lain.

Beberapa gambar yang menunjukkan seorang pemuda sedang menunggang motosikal menjadi tular selepas ia dimuat naik di halaman Facebook Sepet Vtec.

Rata-rata netizen tertumpu kepada rider tersebut, bukan jenama atau motosikal yang diubah suai mahupun barang yang dibawanya tetapi tarikan pada salah satu pedal – 'kaki besi'.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU kerja lebih ketika PKP, tak menang tangan terima tempahan - "Kalau ada yang cancel beli, kami faham..."

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai 'panas hati' sampai ada yang menangis - "Dah order tu standby lah siap-siap!"

Rupa-rupanya pemuda yang disebut-sebut netizen itu adalah orang kelainan upaya (OKU) yang memakai kaki palsu dan membuat penghantaran di sekitar Melaka.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Danial Asyraf Roslan memberitahu, dia mula memakai 'kaki besi' atau sebenarnya kaki palsu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2017.



(kiri) Gambar Danial tular di media sosial. Foto Facebook Sepet Vtec (kanan) Danial bekerja sebagai penghantar barang. -Foto ihsan Danial Asyraf Roslan

Anak muda berusia 22 tahun itu berkata, motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta, dan kaki kanannya dari paras bawah lutut terpaksa dipotong.

"Kaki kanan saya di bawah lutut hancur akibat kemalangan itu. Doktor menasihatkan supaya bahagian tersebut dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian lain.

"Pada mulanya agak sukar bagi saya meneruskan kehidupan. Tapi saya bersyukur kerana sokongan keluarga memberi semangat untuk bangkit semula," katanya.

Lebih mesra disapa Danial, dia mula bekerja sebagai penghantar barang di sebuah syarikat untuk perkhidmatan di sekitar Melaka, sejak hampir dua bulan.



Danial melakukan empat kerja penghantaran pada satu masa.

Pemuda kelahiran Masjid Tanah di Melaka itu bagaimanapun sebelum ini pernah bertugas di sebuah kilang di negeri itu tetapi telah diberhentikan kerja sejak akhir tahun lalu atas sebab-sebab tertentu.

"Rezeki bergantung kepada Tuhan. Kalau ada, adalah. Tapi saya tak putus asa, buat apa saja yang saya boleh lakukan atas sokongan keluarga dan teman-teman rapat.

"Sama juga macam kerja delivery ni. Kalau ada pelanggan, adalah kerja. Kalau tak ada, saya tunggu di mana-mana sampai ada order sebab kerja ni tak boleh putus asa," tambahnya.

Saya harus fikir ke hadapan. Kalau tak buat kerja, bukannya saya boleh dapat duit macam tu saja.

DANIAL ASYRAF ROSLAN

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, selain menjadi penghantar barang, dia turut membuat kerja penghantaran secara sambilan untuk sebuah restoran.

"Pada masa sama, saya buat part time delivery untuk kakak saya yang berniaga susu. Saya juga sedia khidmat runner untuk sesiapa yang memerlukan khidmat penghantaran saya.

"Kiranya ada empat kerja dalam satu masa. Tapi semuanya bergantung rezeki daripada Tuhan. Kalau tak ada yang ini, mungkin ada yang itu," tambahnya.



Danial bersyukur mendapat sokongan daripada keluarga dan teman-teman rapat.

Danial berkata, dia akan terus berusaha selagi boleh dan kudrat yang dikurniakan untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

"Sekarang ni banyak persaingan, ada banyak rider. Tapi saya tak boleh putus semangat sebab kalau mengalah tak dapat apa-apa.

"Saya harus fikir ke hadapan. Kalau tak buat kerja, bukannya saya boleh dapat duit macam tu saja.

"Walaupun ber'kaki besi', saya mahu mencabar diri saya untuk berusaha sebagaimana orang lain dan saya percaya rezeki daripada Tuhan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain