suria

Sebelum ini hanya di belakang tabir... peluang 2 minggu jadi sukarelawan di Sabah, wanita ini dapat pengalaman tak dijangka - “Pernah diacukan kayu sebab ajak buat ujian swab”

Asmah tidak menyangka diberi peluang bertugas sebagai sukarelawan KKM.

SUDAH terbiasa bergelumang dengan aktiviti berbentuk sukarela sejak menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), wanita ini tidak teragak-agak untuk menawarkan khidmat sekali lagi.

Apatah lagi ketika ini lebih ramai sukarelawan diperlukan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini.

Justeru bagi wanita bernama Asmah Kadir ini, peluang untuk bertugas sebagai sukarelawan KKM tidak dilepaskan kerana ingin menabur bakti kepada masyarakat dengan menjadi sebahagian daripada frontliners.

ARTIKEL BERKAITAN: Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini”

ARTIKEL BERKAITAN: Video frontliners bersorak gembira selepas PM umum PKPP dibanjiri penghargaan rakyat Malaysia – “Kita belum menang, tapi kita boleh dan pasti menang”

Berkongsi cerita dengan mStar, Asmah berkata segala-galanya bermula apabila dia dihubungi pihak Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah yang memintanya mencari sukarelawan bagi membantu KKM dalam membuat ujian saringan Covid-19.

"Saya memilih untuk menjadi sukarelawan kerana sebelum ini saya hanya buat program untuk menghargai frontliners yang sedang bertugas ekoran tidak mampu menyumbang tenaga seperti mereka.

"Jadi ketika diberi peluang untuk bersama frontliners, ia merupakan sesuatu peluang untuk saya merasa sendiri bagaimana sukarnya menjadi frontliner," kata wanita berusia 27 tahun ini kepada mStar.



Asmah (kanan) sudah dua minggu bertugas sebagai sukarelawan KKM.

Sudah hampir dua minggu bergelar sukarelawan, Asmah mengakui dia turut merasa bimbang dengan risiko wabak Covid-19 apatah lagi terlibat secara langsung dengan individu yang membuat ujian saringan swab.

"Kami juga orang yang berisiko kerana berdepan dengan ramai orang. Ditambah lagi ada beberapa kes positif hasil daripada saringan yang kami jalankan.

"Jadi apa yang saya lakukan bagi menjaga keluarga daripada risiko ini ialah mengambil langkah dengan memastikan ketika dilapangan saya akan memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) seperti yang ditetapkan KKM.



Asmah (kanan) sebelum ini hanya bertugas sebagai sukarelawan untuk program menghargai frontliners.

"Selain itu, ketika pulang dari membuat saringan, saya pastikan akan membersihkan diri terlebih dahulu sebelum bersama keluarga. Saya juga mengelakkan daripada terlalu banyak bersentuhan dengan ahli keluarga," ujar wanita yang berasal dari Tawau, Sabah ini.

Dalam pada itu, ujar Asmah, sepanjang tempoh berkenaan, pasukan sukarelawan yang disertainya berdepan dengan cabaran yang bukan kepalang.

Pernah juga diacukan kayu ketika memanggil warga turun untuk membuat saringan Covid-19. Ia kenangan lucu bagi saya.

ASMAH KADIR

SUKARELAWAN

"Cabaran yang pasukan kami terima adalah penerimaan orang awam sendiri. Ada yang beranggapan bilangan kes yang meningkat ini disebabkan oleh saringan Covid-19 yang dijalankan.

"Ibarat kita sendiri yang telah menyebabkan bilangan positif meningkat saban hari kerana kita membuat swab test kepada ramai orang.



Asmah terlibat sebagai sukarelawan sejak menuntut di IPT.

"Selain itu pernah juga diacukan kayu ketika memanggil warga turun untuk membuat saringan Covid-19. Ia kenangan lucu bagi saya sendiri kerana tidak menyangka sampai ke tahap itu sekali saya menerima 'respon' akibat mengajak orang lain turun membuat saringan Covid-19 di kawasan mereka.

"Kalau frontliners boleh bertahan, InsyaAllah kami pun boleh. Dan Alhamdulillah, setiap hari adalah pengalaman baharu bagi saya untuk sentiasa bersemangat bekerja bersama frontliners," katanya yang juga penerima Anugerah Wira Belia Covid-19 sempena sambutan Hari Belia Negara pada Ogos lalu.



Wanita ini pernah menerima Anugerah Wira Belia Covid-19 sempena Hari Belia Negara, Ogos lalu.

Banyak berkongsi pengalamannya sebagai sukarelawan di Facebook, Asmah dalam pada itu turut mengharapan semua pihak menggembleng tenaga agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan segera.

"Kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu bagi sama-sama melawan dan memutuskan rantaian Covid-19 ini daripada semakin merebak. Inisiatif kerajaan sudah dilaksanakan, kini tanggungjawab kita pula sebagai rakyat untuk sama-sama menjaga diri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain