suria

Video frontliners bersorak gembira selepas PM umum PKPP dibanjiri penghargaan rakyat Malaysia – “Kita belum menang, tapi kita boleh dan pasti menang”

Tular video sekumpulan petugas barisan hadapan (frontliners) yang bersorak gembira selepas perdana menteri mengumumkan PKPP, baru-baru ini.

HAMPIR enam bulan sejak kes pertama Covid-19 dikesan di negara ini, Malaysia kini semakin menunjukkan perkembangan positif apabila kes yang dicatatkan menunjukkan penurunan saban hari.

Selepas melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kini negara sedang melalui tempoh pemulihan atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Perkara ini takkan dicapai tanpa kerjasama semua pihak, namun pengorbanan petugas di barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus siang dan malam sewajarnya diberi 'standing ovation'.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebar prosedur 'nampak ngeri' di media sosial... doktor kesal, tak sudah-sudah berdepan perangai rakyat Malaysia - “Tengok komen, memang boleh panas hati”

ARTIKEL BERKAITAN: Kini doktor faham perasaan dikuarantin, lebih letih daripada bekerja - “Macam duduk dalam kubur tapi hidup”

Berbulan lamanya terperuk di hospital dan di pusat persampelan dengan sut peralatan perlindungan diri (PPE), kini mereka boleh mengukir senyum dan menarik nafas lega apabila pengorbanan mereka berbaloi.

Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan sekumpulan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian PPE bertepuk tangan dan bersorak kegembiraan sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan negara kini diletakkan di bawah PKPP, Ahad lalu.



Siti Aishah dan rakan sepasukan bersama anggota PDRM merakamkan gambar sebagai kenangan ketika bertugas di lapangan.

Menerusi video yang berdurasi 11 saat itu, kelihatan juga pegawai polis turut meraikan detik-detik kegembiraan tersebut bersama kumpulan petugas kesihatan berkenaan sambil melaungkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela dan lain-lain.

Video tersebut yang berlegar di kebanyakan platform media sosial dibanjiri dengan ucapan penghargaan dan terima kasih daripada rakyat Malaysia di atas pengorbanan 'wira' negara itu.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemilik asal video tersebut, Siti Aishah Mohd Ali Khan berkata, ia sebenarnya dirakam ketika dia sedang bertugas di lapangan, Mei lalu.

"Ia sebenarnya dirakam bulan lalu dan untuk disimpan sebagai kenang-kenangan saja. Saya fikir nanti nak kongsi bila tiba masa yang sesuai.

"Jadi bila baru-baru ini perdana menteri umum PKPP, ia satu berita gembira buat semua. Yang mana antara kami ni ada yang dah lama tak jenguk ibu bapa dan juga anak-anak.

"Bila muat naik tak lama selepas itu, tak sangka ia menjadi viral. Paling terharu, di setiap platform media sosial, rata-rata rakyat Malaysia ucap terima kasih kepada frontliners," katanya.



Sungguhpun berdepan pelbagai cabaran, namun kehadiran rakan sepasukan yang saling menyokong menaikkan semangat antara satu sama lain.

Siti Aishah yang sudah bergelar jururawat sejak tujuh tahun lalu menambah, pengalaman bertugas di lapangan dan terlibat dengan kes Covid-19 adalah sesuatu yang paling tidak dilupakan.

Apatah lagi khidmat mereka berterusan sehingga bulan Ramadan di mana cabaran yang dihadapi bukanlah calang-calang.

"Pakai PPE dalam masa sejam sahaja sudah berpeluh-peluh. Saya masih ingat, ada seorang rakan setugas 'tumbang' dan dibawa ke hospital gara-gara dehydrated.

"Namun kami semua saling bekerjasama, menyokong dan beri kata semangat antara satu sama lain. Bila ada yang kurang sihat, pasti ada yang tawarkan diri," ujar jururawat berusia 29 tahun ini.

Suami pesan, buat sehabis baik, tak apa korbankan sedikit masa. Begitu juga dengan rakan-rakan sepasukan yang sangat supportive.

SITI AISHAH MOHD ALI KHAN

JURURAWAT

Siti Aishah mengakui perasaan bimbang dan khuatir tetap wujud dalam dirinya apatah lagi tugas di lapangan terdedah secara langsung dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, suami dan ibu bapa tak putus-putus beri kata-kata semangat dan doa. Suami pesan, buat sehabis baik, tak apa korbankan sedikit masa. Begitu juga dengan rakan-rakan sepasukan yang sangat supportive.

"Dalam masa yang sama, di lapangan akan ada staf kawalan infeksi. Mereka ini yang akan memastikan dan inspect para petugas dari hujung rambut hingga hujung kaki. Memang keselamatan adalah perkara utama yang diberi penekanan," ceritanya.



Suami Siti Aishah salah seorang individu yang sering menyokong dan memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

Sungguhpun negara kini sedang dalam fasa pemulihan, Siti Aishah menyarankan agar rakyat kekal berdisiplin dalam menjalani norma baharu kehidupan memandangkan vaksin bagi wabak berbahaya berkenaan masih belum ditemui.

"Apa yang dicapai sehingga kini pun adalah hasil daripada sikap rakyat kita yang berdisiplin dan ikut peraturan. Terima kasih sangat-sangat kerana membantu dan beri kerjasama kepada kami.

"Namun dalam keadaan sekarang ini, nasihat saya, terus patuhi SOP dan sentiasa amalkan norma baharu. Tolong para frontliners sikit saja lagi untuk kita putuskan rantaian Covid-19.

"Kita belum menang, tapi kita boleh dan pasti menang," ujarnya menutup bicara.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sorak, PPE, PKPP, PM, frontliners

Artikel Lain