suria

Kini doktor faham perasaan dikuarantin, lebih letih daripada bekerja - “Macam duduk dalam kubur tapi hidup”

Dr Ahmad Samhan sedang menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan kedua dikeluarkan.

DOKTOR merupakan antara individu yang berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Ini kerana mereka tidak mengetahui latar belakang pesakit yang mendapatkan rawatan, lebih-lebih lagi apabila ada yang tidak berlaku jujur.

Namun, semua risiko ini diketepikan demi tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Begitulah halnya dengan kisah seorang doktor ini yang akhirnya terpaksa dikuarantin selepas mendapat tahu salah seorang pesakit yang dikendalikannya disahkan positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 179 kes baharu, 4 lagi korban Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 61 kematian

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor sekeluarga positif Covid-19, bapa ‘naik takut’ 5 anak viral... riang main TikTok dalam wad - “Baru tahu bagaimana pesakit rasa”

Dr Ahmad Samhan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerusi Facebook berkata beliau mengetahui mengenai status pesakit berkenaan menerusi WhatsApp.

"Bila dapat mesej ini, aku terus terduduk. Darah terasa berhenti mengalir. Terus terbayang dengan jelas muka wanita berusia yang ditemui beberapa hari lepas.

"Dia datang kerana kandungan gula tinggi dan jatuh di tandas. Antara tanggungjawab sebagai doktor dan belas kasih dari seorang anak kepada orang tua, aku angkat dia ke katil sebelum buat pemeriksaan.

"Tiada batuk. Tiada demam. Tiada sakit tekak. Tiada kontak rapat. Sememangnya untuk kes begini kami tak perlu pakai PPE. Kerana stok PPE agak terhad.

"Patutlah dari semalam aku rasa sakit tekak. Memang dah rasa tak sedap hati. Rupa-rupanya hari ini giliran aku yang jadi mangsa," tulisnya dalam posting tersebut.

Dr Ahmad Samhan (dua, kanan) bersama rakan setugas di HKL.

Bingung sebentar sejurus mendapat perkhabaran tersebut, Dr Ahmad Samhan berkata kepalanya ligat berfikir mengenai keluarganya, apatah lagi beliau mempunyai seorang anak yang masih kecil.

"Perkara pertama yang aku buat ialah telefon isteri. 'Abang exposed dengan patient Covid dan kena kuarantin. Nanti tolong sediakan bilik depan. Lepas ambil swab abang balik'. Beritahuku ringkas.

"Sementara menunggu giliran (buat ujian), aku dail nombor telefon insan keramat. Abah memangnya cukup faham kalau aku minta bercakap dengan dia. Mesti ada sesuatu.

"Ma pula memang dengan naluri seorang ibu yang memang sudah Allah hadiahkan. Gerak hatinya sangat kuat. Tak sempat aku beritahu dia seolah-olah dah tahu segalanya," ujarnya lagi.

Kedengaran suara anak sulung yang berumur 7 tahun bertanya ibunya, Kenapa baba tak keluar bilik? Baba tak nak main dengan Umar ke? Ibunya cuba jelaskan. Terus mengalir air mata aku ni.

DR AHMAD SAMHAN

DOKTOR

Menurut doktor tersebut, beliau sudah menjalani ujian saringan sebanyak dua kali.

"Keputusan ujian pertama sudah keluar. Alhamdulillah negatif dan hari ini (Ahad) aku perlu ambil ujian kali kedua. Ia diwajibkan kerana ketepatan ujian ini hanya 80 peratus. Kemungkinan untuk positif masih ada.

"Perlu bersedia. Perlu berwaspada. Bersyukur tapi jangan terlalu gembira. Jauh di sudut hati aku berdoa agar keputusan ujian kali kedua ini juga negatif," ujarnya.

Doktor itu berkata, sungguhpun berat perlu 'berpisah' dengan anak-anak dan isteri, namun dia perlu menjalani kuarantin sehingga keputusan kedua diketahui.

Bersama isteri dan anak sulungnya, Umar.

"Hari ini (Ahad) adalah hari kedua aku dah dikuarantin. Kedengaran suara anak-anak bermain dari luar bilik. Rindu pula lihat gelagat mereka. Rindu nak peluk cium mereka. Rindu bau mereka. Dapat cuti dan rehat tapi tak dapat bersama mereka adalah satu penyiksaan berat.

"Kedengaran suara anak sulung yang berumur tujuh tahun bertanya ibunya, Kenapa baba tak keluar bilik? Baba tak nak main dengan Umar ke?

"Ibunya cuba jelaskan. Terus mengalir air mata aku ni. Baru aku faham letihnya bila kena kuarantin. Lebih letih dari letihnya bekerja.

"Letih fizikal dan mental. Macam duduk dalam kubur tapi hidup. Rasa sihat tapi tak yakin. Dipaksa berehat tapi sebenarnya perasaan seperti sedang berjuang dimedan perang," tulisnya.


Dr Ahmad Samhan hanya mahu berkongsi realiti yang dihadapi frontliners.

Jelas Dr Ahmad Samhan lagi, ramai sahabat seperjuangannya turut berdepan dengan situasi yang sama, justeru perkongsiannya adalah sekadar mahu menceritakan realiti sebenar apa yang mereka hadapi sebagai frontliner.

"Virus ini semakin sukar dijejak. Hampir 80 peratus pesakit tidak menunjukkan apa-apa gejala. Itu belum lagi pesakit yang sembunyikan maklumat terdedah pada Covid-19.

"Kongsikan cerita pada orang lain agar tiada lagi pesakit yang sembunyikan maklumat diri dan beri kerjasama petugas kesihatan kerana kami juga insan biasa yang punyai keluarga," ujarnya lagi.


doktor, Covid-19, HKL, kuarantin

Artikel Lain