suria

KLCC ‘diserang’ Covid-19! Posting media sosial Dr Noor Hisham curi tumpuan

Posting Dr Noor Hisham mengenai penularan Covid-19 mendapat reaksi ramai.

KEGAGALAN bukan satu pilihan dan bertitik tolak daripada itu, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah berhenti menyedarkan rakyat negara ini mengenai peranan masing-masing dalam memerangi Covid-19.

Terkini tindakan Ketua Pengarah Kesihatan itu memuat naik gambar bertindih virus Covid-19 memenuhi ruang udara KLCC di laman media sosialnya, iaitu twitter dan Facebook, menerima ribuan reaksi positif.

Beliau turut melontarkan soalan: “Jika anda dapat lihat virus Covid-19 menular dan terzahir seperti ini, adakah anda akan keluar rumah?”

Gambar itu, yang turut diiringi kenyataan “Buat keputusan bijak. Duduk di rumah. Putuskan rantaian Covid-19” dikongsi lebih 9,000 pemegang akaun Facebook dan ditwit semula oleh 25,500 pemegang akaun Twitter dalam tempoh tiga jam ia dimuat naik.

Sejumlah 18,000 daripada 29,000 memberi reaksi menyukai kenyataan itu dengan 4,300 memberi tanda “love” dalam Facebook manakala lebih 19,000 menyukainya di Twitter.

Di Twitter, @PutriLea3 berkata dia tidak berani keluar walaupun Covid-19 tidak dapat dilihat manakala @adisofri berharap semua orang duduk di rumah supaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilanjutkan lagi.

“Fikirkanlah juga kepada mereka yang bekerja mencari rezeki secara harian. Jangan pentingkan diri. Ikut saranan,” katanya.

@daksempoi500 pula berkata: “Terbaik DG. Kena lukis gambar juga baharu depa ini faham.

Ramai turut mendoakan Dr Noor Hisham dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta petugas barisan hadapan sentiasa selamat, sihat dan dijauhi wabak Covid-19.

@abgirwan berkata: “I pray that Datuk Dr Hisham & team are well & safe. We are indebted to your for your fine services and sacrifice.-- Bernama

Dr Noor Hisham, Covid-19, KLCC

Artikel Lain