suria

Bahulu tergolek masuk sungai, 2 sahabat baru pulang dari kedai emas tak berhenti ketawa - “Tengok-tengok ada plastik je atas jalan”

Rakaman aksi Zirah menyelamatkan bahulu menjadi tular di laman Facebook.

PERJALANAN dua sahabat karib menaiki sebuah motosikal sekembalinya dari mengunjungi kedai emas di Kepala Batas, Pulau Pinang berakhir dengan satu tragedi yang cukup melucukan.

Dalam perjalanan itu, Zirah Idris, 26, menjadi pembonceng dan terpaksa meminta rakannya, Siti Umairah Sabudin, 34, menghentikan motosikal dengan segera kerana sebekas bahulu yang berada dalam genggamannya tiba-tiba lesap.

Mesra disapa Zirah, tukang jahit itu mengakui leka sedang bercakap telefon dan langsung tidak menyedari makanan yang diribanya itu hilang dari pandangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam punca kemalangan! Gadis terpaksa dibedah 3 kali, muka tertusuk cermin mata ketika edar taqwim bantu keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Bakar bahulu Kemboja hanya 17 minit... Wow!

"Sebenarnya kami baru balik dari kedai emas, lepas tu naik motor melalui kawasan tali air. Saya kat belakang tengah cakap telefon, sebelah tangan pegang bekas bahulu dalam plastik.

"Tiba-tiba sedar bahulu dah tak ada atas riba. Lepas tu saya minta kawan berhenti sekejap. Tengok-tengok ada plastik je atas jalan.

"Lepas kami cari baru nampak bekas bahulu tu terapung dalam sungai," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Zirah (kiri) bersama sahabatnya, Siti.

Biarpun terkejut, Zirah dan rakannya tergelak tidak berhenti kerana terlalu terhibur dengan kejadian itu.

Malah, Zirah juga sempat mengambil satu ranting kayu untuk mengambil semula bekas bahulu itu yang yang sedang terapung di dalam tali air.

"Kami memang selalu makan bahulu, Kami nak ambil sangat tu bukan sebab apa, tapi sebab bekas plastik tu tak masuk air.

Sehari tak jumpa memang tak boleh duduk. Kami pun tak sangka video bahulu tergolek masuk sungai tu boleh viral.

ZIRAH IDRIS

TUKANG JAHIT

"Sebab tu kami cuba selamatkan. Kait pakai ranting yang mana ada. Saya yang kait, Siti yang rakam dan gelakkan," ujarnya dalam nada berseloroh.

Kata Zirah, dia bersyukur apabila berjaya mendapatkan semula bahulu itu dan isi di dalamnya masih tidak terusik dan tidak dimasuki air.

Ujarnya lagi, terlalu banyak kenangan lucu dan menghiburkan sepanjang lima tahun bersabahat dan menjadi 'BFF' kepada Siti.

Bahulu yang terjatuh dalam sungai itu akhirnya berjaya diselamatkan.

Selain tinggal berdekatan di Kampung Permatang Rambai, mereka juga membuka premis perniagaan bersebelahan sahaja.

Jika Zirah menjadi tukang jahit, Siti pula mengusahakan perniagaan menghasilkan burger bersaiz gergasi.

Tambah Zirah, bagaikan tidak lengkap hari mereka jika tidak bersua antara satu sama lain.

Foto-foto kenangan melibatkan dua BFF itu.

"Kalau di kampung, orang kata kalau ada Siti... adalah Zirah. Kami memang BFF, gila-gila. Terlalu banyak kenangan bersama.

"Sehari tak jumpa memang tak boleh duduk. Kami pun tak sangka video bahulu tergolek masuk sungai tu boleh viral.

"Sekurang-kurangnya boleh jadi penghibur untuk mereka yang tengok," ujarnya lagi.

Dikongsi di Facebook, posting melibatkan dua sahabat itu sehingga kini menerima lebih 20,000 tanda suka (likes) dan dihujani dengan pelbagai komen orang ramai.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
lucu, bahulu, sungai, sahabat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain