suria

“Jangan senang judge” - Gadis dari keluarga asnaf mampu ‘survive’ dengan bantuan zakat selepas bapa pergi mengejut

Nor Amalina tampil berkongsi pengalaman keluarganya menerima bantuan zakat sejak arwah ayanhnya meninggal dunia lapan tahun lalu.

"MANA pergi pusat zakat?"

Itulah komen yang sering dilontarkan netizen dan masyarakat tatkala kisah sesebuah keluarga daif menjadi tular di media sosial.

Rata-rata cenderung untuk menyalahkan pusat zakat seolah-olah badan ini tidak memainkan peranan mereka membantu golongan yang tidak berkemampuan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Selidik dulu... itulah adabnya” - Selepas Ebit Lew bantu, individu pertikai kaedah ‘terjah’ tolong orang susah... perjelas status keluarga daif Tanjung Lumpur

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit menangis lagi! Kali ini kerana bantu keluarga daif ‘jauh dalam

Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan nama baik sesebuah organisasi zakat gara-gara tuduhan melulu sesetengah pihak yang tidak mengetahui tentang perkara sebenar.

Terpanggil untuk menangkis tuduhan sesetengah 'keyboard warrior' yang mengecam pusat zakat, seorang gadis tampil berkongsi pengalaman keluarganya yang mampu 'survive' disebabkan bantuan yang diterima daripada badan itu.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali dengan nama Nor Amalina berkata, keluarganya merupakan penerima zakat kategori asnaf sejak bapanya meninggal dunia lapan tahun lalu.



Nor Amalina (dua, kiri) bersama ibu dan sebahagian adik beradiknya yang kini masing-masing sudah tamat belajar dan ada yang mula bekerja.

"Ayah meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada otak. Ketika itu, saya berada di Tingkatan 3... abang sulung baru habis belajar di Politeknik, kakak pula masih belajar. Semua tak kerja.

"Ibu seorang suri rumah sebab adik bongsu ketika itu berusia setahun lebih. Ayah pergi dalam keadaan mengejut, iaitu selepas dua minggu dirawat di hospital. Hilangnya ayah, kami sekeluarga umpama patah sayap," ceritanya.

Anak kelima daripada enam beradik ini berkata, arwah bapanya hanya melakukan kerja-kerja di kampung untuk menyara mereka sekeluarga.

Justeru, arwah tidak meninggalkan simpanan yang begitu banyak untuk mereka enam beradik.



Nor Amalina (belakang, kanan) aktif memegang jawatan sebagai AJK Kolej kediaman sewaktu menuntut di IPTA di utara tanah air.

"Keluarga saya bukan orang senang. Bila ayah pergi, kami ibarat patah sayap. Ketika itu kami cuba mohon bantuan zakat. Alhamdulillah, rezeki keluarga saya.

"Sewaktu dapat sambung belajar, saya tetap mendapat bantuan daripada pusat zakat malah dapat komputer riba. Saya hanya perlu fokus belajar sahaja.

"Memang ada proses yang perlu dilalui untuk mohon bantuan zakat, tapi kena berusaha. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.

"Sejak itu, keadaan keluarga bertambah baik. Abang pun dah dapat kerja, kakak pun dah habis belajar," cerita gadis yang berasal dari Kuala Selangor ini.

Bila tengok di media sosial pasal kisah keluarga susah sehingga viral, ramai yang judge kononnya pusat zakat tak buat kerja. Mereka sebenarnya ada skop tugas dan aktif menyalurkan bantuan.

NOR AMALINA

PENERIMA ZAKAT

Menurut Nor Amalina, keluarganya masih menerima zakat sehingga kini iaitu berupa bantuan kewangan bulanan.

"Bila tengok di media sosial pasal kisah keluarga susah sehingga viral, ramai yang judge kononnya pusat zakat tak buat kerja. Mereka sebenarnya ada skop tugas dan aktif menyalurkan bantuan.

"Kena ingat, bukan keluarga kita saja yang mohon... ada ramai lagi yang memohon. Sebab itu kadang-kadang ia ambil masa sedikit. Itu belum lagi isu pemohon cuba tipu maklumat, dan isu-isu lain yang dihadapi pusat zakat.

"Jangan ingat mohon hari ini, esok dah boleh dapat. Ada prosedurnya jadi kena berusaha dan bersabar," katanya yang baharu saja menamatkan pengajian dalam Diploma Sains, Februari lalu.

Tidak sangka perkongsian pengalamannya menjadi tular, Nor Amalina berkata dia hanya bertujuan untuk membetulkan salah tanggapan sesetengah pihak yang cenderung menuduh tanpa tahu perkara sebenar.



Sepasang suami isteri yang tular di media baru-baru ini sehingga ramai yang membangkitkan peranan pusat zakat.

"Tak sangka pula viral. Diharapkan ramai yang buka mata selepas ini. Sememangnya dari kisah keluarga saya, zakat sangat-sangat membantu.

"Daripada sewa rumah zakat bayarkan, kini tidak lagi. Kami beransur-ansur berdiri atas kaki sendiri. Kini keluarga hanya menerima bantuan bulanan.

"Pada penerima zakat, jangan terlalu harapkan bantuan dan tak berusaha langsung pula. Kena berusaha agar keluar dari kepompong dan bentuk kehidupan yang lebih baik," katanya menutup bicara.

Perkongsian Nor Amalina sehingga kini meraih 2,500 retweet dan 3,300 like.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain