suria

Ustaz Ebit lawat keluarga rider maut dirempuh pemandu mabuk... bukan setakat beri mainan tapi mahu hantar anak arwah ke sekolah tahfiz

Ebit (kanan) sewaktu menziarahi keluarga Allahyrham Mohamed Zaili di Ampang, Selangor. Foto Facebook Ebit Lew

SAYU melihat keluarga Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, penghantar makanan yang maut dirempuh oleh pemandu mabuk pada awal pagi 1 Jun lalu.

Seorang wanita bersama lima anaknya kini kehilangan tulang belakang dalam keluarga yang selama ini memikul tugas mencari rezeki.

Turut merasai kesayuan itu adalah pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew sewaktu menziarah enam beranak itu pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi dirempuh pemandu mabuk, mangsa maut selepas hantar makanan dijual isteri

"Sebak sayu tadi ziarah keluarga arwah Mohamed Zaili Mohamed, abang rider menghantar makanan baru ini. Masa tengok video motor arwah terseret jauh dilanggar kereta yang mabuk.

"Ya Allah. Sedang menghantar order yang dimasak isterinya. Rezeki masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini. Makanannya dan lauk-lauknya sedap dan tiada caj penghantaran pun.

"Allahuakbar. Di kala orang takut keluar rumah abang ini dan isteri bertungkus-lumus memberi khidmat. Semoga Allah hadiahkan syurga Firdaus untuk arwah dan pelihara jagakan keluarganya," tulis Ebit di halaman Facebooknya sambil mendoakan perniagaan isteri Allahyarham bertambah maju.



Ebit sayu dengan nasib yang menimpa keluarga Allahyarham.

Dalam kunjungan ke rumah keluarga Allahyarham di sebuah pangsapuri di Bukit Antarabangsa di Ampang, Selangor, Ebit berusaha untuk membantu mereka sehabis baik.

"Akak ni berniaga sana sini tapi tak mampu bayar tapak berniaga. Dah setahun kerja dari rumah. Arwah suaminya hantar makanan. Dua anak masih kecil.

"Seorang itu anak angkat dari kecil. Dah 10 tahun tapi masih belum bersekolah. Cuma kelas mengaji harian. Kakak tadi risau sekolah anak-anak," ujar beliau.

Menurut Ebit, beliau bercadang untuk menghantar anak-anak lelaki Allahyarham ke sekolah tahfiz pada masa akan datang.

"Saya niat nak hantar dan bayarkan sekolah agama madrasah buat yang lelaki kerana dia nak jadi hafiz Al-Quran dan alim. Baik-baik sangat anak ini semua. Adab sifat akhlak mereka.

"Adik ni menangis ulang kali cakap tak sangka dapat jumpa ustaz. Saya beri sedikit duit belanja buat akak ni dan keluarga. Beri sedikit mainan untuk adik-adik ni. Berlari-lari adik ni seronok dapat mainan," tambahnya.



Ebit berbincang dengan keluarga arwah.

Ebit turut mendoakan agar segala urusan membabitkan kes kematian suami wanita itu dipermudahkan sambil menyentuh isu minuman keras.

"Semoga Allah bantu peguam akak ni dalam kes ini. Semoga Allah beri pertolongannya.

Saya niat nak hantar dan bayarkan sekolah agama madrasah buat yang lelaki kerana dia nak jadi hafiz Al-Quran dan alim. Baik-baik sangat anak ini semua.

EBIT LEW

"Semoga Allah selamatkan negara kita dari musibah, bahaya dan akibat buruk dari arak. Ya Allah selamatkan kami semua," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video seorang pembantu kedai aksesori kereta merempuh seorang penghantar makanan awal pagi 1 Jun lalu dan dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.



Ebit turut memberi sumbangan berupa permainan kepada anak-anak arwah

Khor Yong Zhang, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Dia didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan iaitu 161 mg sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Mohamed Zaili Mohamed, 44, di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, pada 1.30 pagi 1 Jun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain