suria

Lagi dirempuh pemandu mabuk, mangsa maut selepas hantar makanan dijual isteri

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk. Foto Twitter redzuanNewsMPB

LAGI kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk!

Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke sebelah kiri bahu jalan manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Suspek kemudiannya memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu selepas ditahan orang awam," kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, lelaki yang merupakan pekerja kontrak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Antarabangsa, Ampang, selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

Zulkefly berkata, pemandu kereta yang bekerja di kedai aksesori kereta itu dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

mabuk, maut, isteri, makanan,

Artikel Lain