suria

Tiga kluster baharu Covid-19 dikesan di Pahang, kesemua 15 kes babitkan pekerja asing – “Fokus kita mereka patuh SOP seperti rakyat Malaysia”

Fokus KKM adalah terhadap kepada bukan warganegara supaya mereka juga patuh kepada SOP sebagaimana rakyat Malaysia. Foto: Bernama

TIGA kluster baharu kes Covid-19 dikesan di Pahang yang membabitkan pekerja bukan warganegara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tiga kluster baharu itu dikesan di sebuah ladang di Bera, manakala kilang papan dan syarikat pembinaan, kedua-duanya di Maran.

Jumlah jangkitan yang direkodkan bagi ketiga-tiga kluster tersebut adalah 15 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: 103 kes positif dikesan, 24 daripadanya warga Bangladesh kluster baharu syarikat pembersihan

"Kluster ladang di Bera ada tujuh kes, dan kluster kilang papan di Maran ada enam kes dan kluster syarikat pembinaan (Maran) ada dua kes," kata beliau dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad.

Menurut Dr Noor Hisham, kes-kes tersebut dikesan susulan tindakan sebahagian pejabat kesihatan yang melaksanakan persampelan secara rawak.

"Bila dapati ada kes positif, kita terus melaksanakan tindakan kita iaitu pengesanan kes aktif di mana yang positif kita asingkan dan yang negatif kita kuarantinkan untuk tempoh 14 hari," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya melakukan pemantauan setiap hari dari segi perkembangan jangkitan terhadap warganegara dan bukan warganegara.

"Apa yang penting adalah sekarang ini fokus kita kepada bukan warganegara supaya mereka juga patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana rakyat Malaysia patuh kepada SOP.

"Kita kena lihat isu-isu atau kekangan mereka contohnya penginapan mereka, persekitaran dan sebagainya. Majikan juga kena melihat kepada bagaimana boleh maklumkan pekerja mereka untuk patuh kepada SOP, selain ambil langkah pencegahan, kebersihan setiap pekerja.

"Kalau kita boleh dapatkan kerjasama bukan warganegara dan warganegara, InsyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan kuman Covid-19 dalam negara kita," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain