suria

46 dikuarantin libatkan ahli keluarga, rakan sekerja selepas seorang staf Wisma Putra positif Covid-19

Seramai 46 individu yang merupakan kontak rapat kakitangan Wisma Putra itu kini sedang menjalani kuarantin. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan laporan media pada Sabtu mengenai seorang kakitangan di Wisma Putra yang dijangkiti wabak Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga kini pihaknya sudah menjalankan ujian saringan terhadap 46 individu yang merupakan kontak rapat kakitangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesahihan berita 10 rakyat Malaysia maut di New York akibat Covid-19 disiasat Wisma Putra - Ismail

"Kita sudah melakukan saringan terhadap 18 ahli keluarga setakat ini, dan juga 28 kontak rapat pesakit iaitu rakan sekerja dan di pejabat.

"Sekarang kes positif tersebut sudah diasingkan dan dirawat di hospital, manakala 46 yang lain pula menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Kita masih menunggu keputusan, tapi setakat ini, tiada lagi yang hasilnya positif," ujarnya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media harian KKM pada petang Ahad.

Terdahulu, media yang memetik kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melaporkan seorang kakitangan Wisma Putra dikesan positif Covid-19.

Susulan pengesanan kes pertama membabitkan kakitangan Wisma Putra itu, proses nyah kuman dilakukan serta merta di bangunan itu dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Wisma Putra, kuarantin, Covid-19

Artikel Lain