suria

Kesahihan berita 10 rakyat Malaysia maut di New York akibat Covid-19 disiasat Wisma Putra - Ismail

Seorang petugas kesihatan selesai memindahkan pesakit di kawasan khusus untuk mereka yang dikangkiti Covid-19 di sebuah hospital di New York. Foto: Getty Images/AFP

WISMA Putra sedang menyiasat mengenai dakwaan oleh Persatuan Malaysia Amerika (MAA) bahawa terdapat sekurang-kurangnya 10 rakyat negara ini yang tinggal di New York, Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia akibat Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana sehingga kini kerajaan masih tidak mendapat sebarang makluman rasmi mengenai perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepuluh rakyat Malaysia maut dijangkiti Covid-19 di New York

"Kementerian Luar tak mendapat maklumat tentang perkara ini jadi kita tak tahu statusnya, adakah berita itu berita benar atau bukan benar. Dan Wisma Putra sedang menyiasat perkara ini," katanya dalam sidang media harian pada Khamis.

Terdahulu, Presiden MAA Kim Bong dalam satu temubual menerusi telefon bersama The Star berkata, dua daripada jumlah rakyat Malaysia yang maut akibat wabak itu di New York merupakan ahli jawatankuasa persatuan tersebut.

Tambahnya, setakat ini kira-kira 30 rakyat Malaysia telah dijangkiti virus maut itu di bandaraya berkenaan.

Mengulas perkara itu lebih lanjut, Ismail turut menasihati rakyat negara ini yang menetap di luar negara agar sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan Malaysia di lokasi masing-masing sekiranya mempunyai masalah.

"Saya nak pesan kepada rakyat kita yang berada di luar negara, jika ada timbul masalah atau apa saja isu, sila hubungi pejabat kedutaan kita.

"Sebab pejabat kedutaan kita pasti akan bantu rakyat kita yang berada di luar negara jika timbul masalah.

"Saya percaya tentulah pejabat kedutaan tak tahu agaknya... saya pun tak tahu kerana Kementerian Luar masih belum mendapat maklumat secara rasmi tentang apa yang berlaku di Amerika itu," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, New York, Wisma Putra, MAA

Artikel Lain