suria

AS digegar pendemontrasi gara-gara kematian George Floyd, rakyat Malaysia diminta waspada... patuhi perintah berkurung

Polis berkawal selepas pendemonstrasi bertindak ganas susulan kematian George Floyd, ketika ditahan di Minneapolis pada Isnin. Foto: AP

RAKYAT Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dinasihatkan agar tetap berwaspada dan berhati-hati untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka, berikutan tunjuk perasaan awam di beberapa bandar di negara itu.

Nasihat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Washington DC juga turut menasihatkan warganegara Malaysia untuk mengelakkan kawasan tunjuk perasaan, tinggal di rumah dan mematuhi perintah berkurung yang diarahkan pihak berkuasa tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gabenor isytihar darurat di Atlanta selepas berlaku rusuhan kes kematian George Floyd

"Mereka yang masih belum mendaftar dengan Kedutaan dinasihatkan untuk berbuat demikian, jika berlaku kecemasan," menurut kenyataan itu.

Kedutaan turut menyatakan, setakat ini ia belum lagi menerima sebarang laporan atau pemberitahuan mengenai warganegara Malaysia yang telah teraniaya atau tercedera akibat tunjuk perasaan berterusan terhadap tuntutan perkauman dan kekejaman polis di beberapa bandar di seluruh AS.

"Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan melalui e-mel: [email protected]/ [email protected] atau telefon: +1-202-572-9700," menurut kenyataan itu.

Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya berhubung kematian seorang lelaki, George Floyd, ketika ditahan di Minneapolis pada Isnin.

AFP melaporkan Los Angeles, Philadelphia dan Atlanta antara beberapa bandar raya di AS yang mengumumkan perintah berkurung pada Sabtu dalam usaha untuk mengekang protes antipolis yang meletus di seluruh negara itu.

Perintah berkurung pada waktu malam juga dilaksanakan di Louisville, Kentucky ketika AS terus digegarkan oleh para pendemonstrasi. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain