suria

Wanita 10 anak cuba nasib jadi YouTuber pada usia 50 tahun... ada kisah pilu di sebalik pemilihan nama ‘Bonda Sebelas’

Azreen (tudung putih) bersama 10 orang anaknya.

DALAM zaman serba canggih ini, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjana pendapatan.

Malah, ramai juga yang bergelar YouTuber kerana sedar ia mampu membawa pulangan lumayan jika dilakukan dengan betul.

Terbaharu, seorang ibu anak 10, Azreen Abdul Aziz, 50, turut berjinak-jinak sebagai YouTuber dengan berkongsi video masakan sejak seminggu yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes baju merosot, tapi permintaan resepi meningkat walau masak suka-suka... lelaki ini manfaatkan pengalaman ibu bergelar Youtuber

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan sebuah kuali baharu, makcik umur 61 tahun kini jadi Youtuber... anak dedah “setiap komen dia baca”

Sehingga kini, dia sudah berkongsi empat video masakan menerusi saluran YouTube dikenali sebagai 'Bonda Sebelas'.

Bercerita lanjut kepada mStar, graduan Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1993 yang mesra disapa Azreen mengakui ada kisah tersendiri di sebalik pemilihan nama itu.

"Bonda Sebelas sebab saya ada 11 orang anak sebenarnya. Tapi anak sulung saya meninggal dunia bersama suami dalam satu kemalangan jalan raya lima tahun lepas.

Video masak lemak siput sedut yang dihasilkan Azreen.

"Masa tu anak saya ikut suami, ada kerja di Pulau Pinang dan kemalangan berlaku di lebuh raya di Tapah, Perak.

"Kalau arwah anak masih ada, umur dia dah 25 tahun ini. Sekarang saya ada tujuh anak lelaki dan tiga perempuan, umur sembilan hingga 24 tahun," ujarnya.

Bercerita mengenai saluran YouTube itu, Azreen berkata semuanya bermula dengan idea yang diutarakan anak-anaknya.

Ini semua idea anak-anak, saya tak berapa pandai. Mereka yang rakam, edit... ada juga saya rakam sendiri.

AZREEN ABDUL AZIZ

YOUTUBER MASAKAN

Menetap di Kemaman, Terengganu, anak-anaknya banyak membantu dari segi rakaman, suntingan dan juga proses memuatnaik video ke YouTube.

"Ini semua idea anak-anak, saya tak berapa pandai. Mereka yang rakam, edit... ada juga saya rakam sendiri.

"Mula-mula buat, saya hantar video pada kawan-kawan. Mereka kata OK.

Antara video masakan yang dikongsi menerusi saluran YouTube Bonda Sebelas.

"Harapan saya, kalau YouTube tu boleh membantu beri rezeki, apa salahnya. Saya juga mahu kongsi pengalaman memasak dengan anak-anak," katanya lagi.

Menurut Azreen, dia juga sudah membuat beberapa rakaman baharu dan ia akan dimuatnaik kelak.

Antara menu yang sudah dikongsi dan boleh ditonton orang ramai menerusi YouTube termasuklah asam pedas ikan pari, goreng cili kentang ikan bilis dan masak lemak siput sedut.

Azreen turut dibantu anak-anaknya dalam proses penghasilan video.

Sebelum ini, pasangan YouTuber suami isteri yang menggunakan nama 'Sugu Pavithra' turut menjadi tular setelah tampil dengan pelbagai video masakan.

Malah, pasangan itu turut mencuri tumpuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini juga, S.Pavithra, 28, dan suami M.Sugu, 29, menerima tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak daripada Muhyiddin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain