suria

Kaabah, Hajarul Aswad, air zam-zam.... kali ini semuanya berbeza! Jururawat Malaysia ‘insan terpilih’, antara terawal buat umrah norma baharu

Ahmad Najhan, seorang jururawat yang bertugas di sebuah hospital di Jeddah menjadi antara jemaah terawal menunaikan umrah norma baharu.

INSAN bertuah! Itulah perkataan sesuai buat pemuda ini apabila dia menjadi antara jemaah terawal yang menunaikan umrah sebaik sahaja kerajaan Arab Saudi membenarkan semula ibadat berkenaan pada 4 Oktober baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, Ahmad Najhan Hassim berkata dia juga sama sekali tidak menyangka menjadi antara jemaah terawal menunaikan ibadah umrah dalam norma baharu.

Senang disapa sebagai Ahmad Najhan, dia sudah tiga tahun menetap di Arab Saudi kerana bertugas sebagai jururawat di King Faisal Specialist Hospital, Jeddah.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah la cuti tak balik Malaysia, doktor bertikam lidah pula dengan Pak Arab di Makkah - “Janji setiap hari buat umrah, dapat upah”

ARTIKEL BERKAITAN: Berdebar nak jawab tiap kali orang bertanya, siswi UiTM ini bangga terpilih miliki mak ayah OKU - “Saya nak bawa mereka ke Makkah”

Menurut pemuda berusia 29 tahun ini, dia pada mulanya sekadar suka-suka mengisi pemohonan dan menempah slot umrah secara dalam talian (online).

"Mula-mula saya sekadar mencuba untuk log masuk aplikasi ‘Eatmatrna’. Untuk umrah norma baharu, semua yang niat untuk menunaikan ibadah umrah perlu menempah slot secara online menerusi aplikasi yang dilancarkan pada umum 28 September lalu.



Ahmad Najhan tidak menyangka menjadi antara jemaah terawal menunaikan umrah norma baharu.

"Tak sangka dalam cuba-cuba tu terus tanpa sengaja ada kekosongan, dan slot terus ditempah untuk hari pertama dibuka umrah pada 4 Oktober.

"Prosedur ini untuk yang menetap di Arab Saudi saja. Untuk jemaah antarabangsa, ia akan dibuka berperingkat bergantung dengan keadaan dan status Covid-19 di negara masing-masing. Mereka kena rujuk agensi masing-masing," katanya.

Sudah beberapa kali menunaikan ibadah umrah namun yang pertama kali dalam norma baharu, Ahmad Najhan berkata suasana pada kali ini amat berbeza khususnya dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.



Kawasan antara Safa dan Marwah yang lengang.

"SOP sangat dijaga. Kalau dulu boleh terus masuk ke Masjidil Haram. Tapi kali ni kenderaan individu dilarang parkir atau menurukan penumpang dalam Masjidil Haram.

"Ada dua checkpoint untuk jemaah berkumpul, perlu datang pada masa yang telah ditempah secara dalam talian. Sampai di checkpoint, jemaah akan dibawa masuk oleh mutawwif secara berkumpulan.

Tak ramai jemaah jadi sangat lapang, selesa beribadah. Dan kita boleh luang masa yang lama even berdiri berdepan Kaabah.

AHMAD NAJHAN HASSIM

JURURAWAT

"Permit umrah norma baharu cuma membenarkan jemaah berada dalam Masjidil Haram selama tiga jam sahaja. Habis waktu perlu keluar dari kawasan masjid.

"Hajarul Aswad dan Kaabah dilarang sentuh atau kucup, air zam zam pula dibekalkan dalam botol kecil sahaja, tiada lagi kaunter ‘free flow’ seperti dulu," ujarnya yang berasal dari Taman Sri Gombak, Selangor.



Para jemaah perlu patuh kepada SOP yang ketat.

Sungguhpun perlu melalui prosedur yang sangat ketat, namun Ahmad Najhan berkata ibadah umrah pada kali ini tetap menghadirkan kenangan yang amat manis buat dirinya.

"Tak ramai jemaah jadi sangat lapang, selesa beribadah. Dan kita boleh luang masa yang lama even berdiri berdepan Kaabah. Kalau boleh lagi ramai lagi bersyukur supaya sama-sama mengimarahkan rumah Allah, cuma kena akur dengan pandemik dan keadaan 'darurat'," ceritanya.



Ahmad Najhan (tga, kiri) sudah hampir tiga tahun bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi.

Tidak menyangka perkongsiannya di Twitter menjadi tular, Ahmad Najhan terharu dan tersentuh dengan reaksi yang diberikan netizen.

"Saya mendoakan semua antara kita sama ada yang belum pernah atau pernah, dapat menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah satu hari nanti.

"Semua rezeki datang dari Allah. Niatkan dalam hati, insyaAllah sampai. Cuma kena yakin dan terus usaha," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain