suria

Selepas 3 kali ulang final exam, rutin baharu bersama anak sedarkan lelaki ini nikmat bergelar bapa - “Rupa-rupanya setiap hari isteri ajar anak doa”

Perkongsian Dr Redza mengenai kisah rakannya yang lulus peperiksaan akhir kerana berkat doa anaknya. Gambar hiasan

BERKELUARGA namun dalam masa sama menyambung pengajian sememangnya cabaran yang bukan calang-calang.

Pastinya mereka yang berada di dalam situasi ini berdepan dengan kesukaran untuk membahagikan masa bersama keluarga, kerjaya dan pelajaran.

Jika tidak kuat semangat, tidak mustahil sukar untuk menghabiskan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pulang dengan rasa menyesal selepas kejadian di wad bayi, tersentak dapat pesanan padu nurse senior pertama kali azankan baby tak berbapa

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa tak lama dah baby ni” - Doktor akui buat ‘silap’ ketika rawat bayi pramatang, keajaiban 3 tahun lepas beri pengajaran bermakna

Seorang doktor turut membuat perkongsian pengalaman yang dilalui oleh seorang rakannya sebagai teladan kepada semua, khususnya yang berada di dalam situasi sama.

"Saya terserempak dengan kawan lama di Melaka. Dah enam tahun tak bertemu, alih-alih jumpa di kedai makan.

Beliau bercerita yang dia baru saja habis program Master dan sekarang bekerja di Pahang.



Antara perkongsian Dr Redza mengenai kisah rakannya di Facebook.

"Aku ni sampai tiga kali ambil final exam. Gila betul, memang beratus kali ada rasa nak berhenti separuh jalan.

"Kau tahu apa yang buatkan aku akhirnya lulus ujian tahun akhir aku? Saya geleng kepala. Sungguh memang tak tahu," tulis Dr Redza Zainol mengimbas kembali perbualan bersama rakannya itu.

Menurut Dr Redza, rakannya yang sudah berkeluarga ketika sedang menyambung pelajaran agak sukar meluangkan masa bersama keluarga, khususnya anak kecil yang memerlukan lebih perhatian.

Setiap malam apabila pulang ke rumah, rakannya yang sudah kepenatan akan memberi alasan setiap kali anak kecilnya itu mahukan perhatian.

Sebenarnya kita terlupa yang kita ini langsung tidak boleh menganggap anak-anak itu sesuatu yang menyusahkan atau meletihkan.

DR REDZA ZAINOL

PAKAR PEDIATRIK

"Aku cakap nanti kita main. Tapi lepas dah mandi, solat, makan dan aku tak tengok pun anak aku tadi. Sampailah dia tertidur sendiri. Itulah yang terjadi dan berulang-ulang setiap hari," kongsi Dr Redza sebagaimana yang diceritakan rakannya.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari rakannya berkesempatan untuk pulang ke rumah lebih awal daripada biasa.

Ketika itu, anak kecil rakannya tadi terlalu gembira kerana bapanya dapat meluangkan masa untuk bermain bersama-sama.

"Sampai ke hari ni aku boleh ingat lagi betapa gembiranya dia waktu tu. Senyum, gelak dan tersengih-sengih dia sepanjang malam. Mungkin dia rasa itulah the best day in his life.

"Aku sendiri pun rasa lain hari tu. Rasa macam jadi seorang ayah. Aku rasa betul-betul puas, rasa betul-betul gembira.

"Mulai dari hari tu, aku cuba sehabis baik nak balik awal semata nak bergurau dengan dia," cerita rakannya.



Ibu bapa seharusnya memberi perhatian kepada anak-anak khususnya yang sedang mahu membesar.

Ajaibnya, sejak melakukan 'rutin baharu' itu, rakannya dapat merasakan perubahan yang sangat ketara.

"Yang aku paling pelik sekali tugasan aku semua boleh selesai walaupun aku dah habiskan banyak masa melayan anak. Apa yang aku belajar pulak semuanya jadi lagi senang faham dan ingat.

"Rupa-rupanya isteri aku kata, setiap hari dia ajarkan anak aku doa supaya aku lulus peperiksaan. Macam ni dia doa, 'Ya Allah, bagi papa lulus ujian dia'.

"Dan betul-betul tak sangka exam kali ni akhirnya aku lulus cemerlang. Tak tunggu lama balik rumah terus aku cari dan peluk anak aku tu sekuat hati," cerita rakannya.



Sungguhpun sibuk dengan tugas harian, ibu dan bapa perlu meluangkan masa untuk anak-anak.

Tambah Dr Redza, tidak dinafikan mana-mana individu yang sedang menyambung pelajaran ketika berkeluarga menuntut pengorbanan yang tinggi, namun ramai memilih untuk 'mengorbankan' waktu bersama anak-anak demi.

"Sebenarnya kita terlupa yang kita ini langsung tidak boleh menganggap anak-anak itu sesuatu yang menyusahkan atau meletihkan. Tuhan sudah berikan kita anak supaya dijaga sepenuh hati. Pasti ada limpahan rezeki dari pelbagai sudut dan arah yang tak disangka nanti.

"Anak-anak itu berkat, bukannya penghambat," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 1,700 shares.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain