Sedih lalui fasa bekalan drop, ibu anak sulung tetap gigih pam susu di pejabat... sampai rumah, stok pula tumpah! - “Bila dipujuk tangisan menjadi-jadi”

Fadia Hani sebak selepas mendapati susu yang dipam olehnya tumpah di dalam beg sebaik pulang dari tempat kerja.

BAGI wanita yang bergelar ibu, pengalaman dapat menyusukan bayi secara eksklusif sememangnya satu nikmat yang sangat disyukuri.

Ini kerana tidak semua wanita bergelar ibu dikurniakan 'rezeki' mempunyai susu badan yang banyak.

Ada segelintir wanita yang begitu 'struggle' untuk mengeluarkan susu badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis lepas geram, ibu ‘demand’ 18 pek susu formula untuk sebulan... dah lupa cara susu badan - “Tak tahu macam mana nak mula balik”

ARTIKEL BERKAITAN: “Silap, 10 minit yang berharga tu saya lalai” - Kerana susu satu tin, isteri kursus 2 hari... rosak sofa ‘dikerjakan’ anak-anak

Disebabkan itu, sesi mengepam susu menjadi satu cabaran buat mereka demi memberikan yang terbaik untuk cahaya mata.

Baru-baru ini, tular gambar seorang wanita yang terduduk sambil menangis selepas melihat stok susu yang dipam tertumpah di dalam beg khas.

Ia dikongsikan oleh seorang pelayar yang juga suami wanita itu di Facebook, Syukri Shahdan.



Fadia Hani sebak selepas mendapati satu botol susu yang dipam tumpah di dalam beg.

Ketika berkongsi cerita bersama mStar, wanita yang bernama Fadia Hani Apandi berkata kejadian yang berlaku beberapa hari lalu sememangnya begitu menyedihkan terutama ketika ini dia sedang melalui fasa 'kemerosotan' perahan susu.

"Hari itu, kebetulan saya ada mesyuarat pada tengah hari dan waktu mengepam terpaksa dianjakkan. Bila keluar pejabat, jalan jem teruk. Memang hari yang agak penat.

"Bila sampai saja di pintu rumah, beg yang saya isi susu yang dipam basah. Tengok-tengok sebotol susu yang dipam di pejabat tadi tumpah. Memang sedih sebab saya berusaha nak beri yang terbaik untuk bayi sulung yang kini berusia hampir sembilan bulan.

"Tambahan pula tengah fasa susu drop. Jadi memang kena struggle malam tu untuk pam susu supaya bekalan untuk beri kepada pengasuh esoknya mencukupi," katanya.

Suami hanya mampu tenangkan dan pujuk saya. Dia memang sangat menyokong penyusuan susu badan. Katanya, kalau tak mampu, usah paksa diri. Bila dipujuk, tangisan pula makin menjadi-jadi.

FADIA HANI APANDI

IBU

Wanita yang berusia 30 tahun itu menambah, suami yang melihat keadaannya ketika itu turut kehairanan sebelum mengetahui mengapa dia mengalirkan air mata.

"Suami hanya mampu tenangkan dan pujuk saya. Dia memang sangat menyokong penyusuan susu badan. Katanya, kalau tak mampu, usah paksa diri. Bila dipujuk, tangisan pula makin menjadi-jadi," ujarnya.

Fadia Hani berkata, dia sememangnya menyokong kempen penyusuan badan sehingga usia anak mencecah dua tahun.



Fadia Hani dan Syukri bersama puteri sulung mereka yang hampir memasuki usia sembilan bulan.

Justeru, dia sungguh bersyukur kerana dapat menyusukan bayinya secara eksklusif seperti mana sasaran yang diletakkan sebelum ini.

"Saya letak target secara berfasa, saya mahu susukan anak sehingga usiannya enam bulan. Alhamdulillah tercapai. Kemudian saya letak sasaran untuk umurnya setahun, kemudian kalau ada rezeki, nak susukan lagi hingga setahun enam bulan dan seterusnya.

"Saya tak pernah kongsikan secara 'public' tentang journey breastfeeding, sebab saya faham tak semua wanita bernasib baik.

"Tapi bila viral cerita ini, saya harapkan secara tak langsung ia memberi semangat dan motivasi kepada ibu di luar sana mengenai kepentingan susu badan," ceritanya.



Antara komen netizen yang memberi kata-kata sokongan kepada ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Dalam pada itu, Fadia Hani turut mengesyorkan mana-mana wanita khususnya ibu muda yang pertama kali mempunyai cahaya mata agar sentiasa mencari ilmu penyusuan badan demi memberi yang terbaik untuk bayi masing-masing.

"Saya juga dulu rasa tak mampu, tapi saya tak putus asa... saya banyak sertai group-group Facebook untuk mencari ilmu.

"Namun paling penting, adalah sokongan orang-orang sekeliling terutama suami dan ibu. Dengan adanya sokongan padu, para ibu akan lebih bersemangat seterusnya dapat memberikan yang terbaik untuk anak," katanya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

susu ibu, pam, tumpah, struggle

Artikel Berkaitan

Artikel Lain