suria

Cik Ling barber ‘legend’ Rengit tak berkira soal upah... bayar dengan ubi, ikan pun boleh - “Tak pernah lagi sampai tak cukup duit”

Menurut anaknya, Cik Ling sudah berkhidmat sebagai tukang gunting rambut selama hampir 47 tahun.

CUKUP dikenali dengan nama Cik Ling, seorang warga emas berusia 73 tahun sudah mengabdikan lebih separuh hayatnya untuk berkhidmat sebagai tukang gunting rambut.

Hampir 47 tahun membuka kedai di Rengit, Batu Pahat, Johor, dia sememangnya dikenali kerana menawarkan harga yang cukup murah kepada setiap pelanggannya.

Lebih menarik, pemilik nama sebenar Jailani Abd kadir itu turut mengamalkan sistem barter yang mana dia menerima pemberian barangan oleh pelanggan sebagai ganti bayaran khidmatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Percaya atau tidak... Gunting rambut di kedai Toknya hanya RM2.50!

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai gunting rambut boleh dibuka 10 Jun, pasar pula 15 Jun ini... syaratnya patuhi SOP!

Menurut anaknya, Zarisa Jailani, 37, dia kagum dengan sikap pemurah bapanya yang sentiasa percaya pada rezeki dengan mengamalkan konsep sedekah sepanjang bergelar tukang gunting.

"Biasalah di kampung, orang-orang tua datang gunting rambut, nak gunting pun rambut tak banyak sangat. Kadang-kadang sedekah je.

"Ayah letak harga kurang RM10. Ayah memang lembut hati. Sebab dari tahun 70-an, gunting rambut pada zaman tu bayaran bukannya banyak.

"Jadi bila nak naikkan harga, dia tak sampai hati. Kalau budak-budak, saudara mara, kadang-kadang dia sedekah.



Foto kenangan sewaktu Cik Ling memotong rambut cucunya yan juga anak kepada Zarisa.

"Kat sana ramai kawan dia kerja nelayan, pekebun. Kadang-kadang mereka buat sistem barter, gunting rambut dibayar dengan ikan, ubi dan sebagainya," ujar Zarisa kepada mStar.

Menurut wanita berusia 37 tahun itu, bapanya kini meghentikan operasi kedai gunting rambut di Rengit dan hanya menerima pelanggan di kediaman mereka di Parit Madirono.

Selain faktor usia, Zarisa menjelaskan bapanya juga sudah tidak larat untuk berulang alik ke kedai yang dibina di hadapan rumah lamanya.

"Dulu kami menetap di Rengit, jadi ayah buka kedai di sana. Tapi kami pun dah lama berpindah ke Parit Madirono.

Jadi ayah saya kata, kalau banyak sedekah InsyaAllah ada je sumber kewangan dan rezeki untuk kita.

ZARISA JAILANI

"Sekarang ayah gunting kat rumah je, gunting rambut kawan-kawan sekampung. Ayah dah ambil keputusan tutup terus kedai di Rengit.

"Ayah dah tak larat berulang alik dari rumah ke sana," ujarnya lagi yang hingga kini masih tidak mendapat jawapan mengenai gelaran Cik Ling yang diberi kepada bapanya.

Menurut Zarisa, dia terpanggil untuk berkongsi kisah mengenai bapanya selepas mereka sama-sama mengimbas kisah itu sewaktu sambutan Hari Raya Aidiladha.

Malah katanya, dia cukup terharu dengan komen-komen netizen yang memuji sikap pemurah datuk kepada tujuh cucu itu.



Cik Ling bersama keluarganya.

"Pada saya, ramai lagi orang yang pemurah... bukan ayah saya je. Saya bercerita di Twitter pun sebab dia imbas balik kisah lama masa raya.

"Dia bercerita pada cucu-cucu. Mereka juga tanya kenapa atuk terima ubi tapi tak ambil duit.

"Jadi ayah saya kata, kalau banyak sedekah InsyaAllah ada je sumber kewangan dan rezeki untuk kita.

"Tak pernah lagi sampai tak cukup duit sampai tak boleh bayar sewa, bil eletrik selama ini," imbas Zarisa lagi.



Posting yang tular di Twitter.

Sehingga kini, posting mengenai bapanya menerima hampir 2,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai netizen turut meninggalkan komen di posting itu.

"Kadang-kadang orang berumur ni buat bukan sebab duit. Tapi sebab hobi.

"My mom pun sama. Tukang gunting rambut tak bertauliah untuk makcik-makcik and sepupu sepapat. Kadang jiran pun. Memang tak ambil duit.

"Semoga pakcik diberi kesihatan yang berpanjangan dan terus dimurahkan rezeki," tulis beberapa pelayar Twitter.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain