suria

Pemuda Malaysia rindu ‘famili’ di Korea Selatan, video kejutan ubat kerinduan - “Ada yang mahu jodohkan dengan anak mereka”

Antara reaksi 'famili' Korea yang menerima kejutan Fairuz (gambar kecil) sekembalinya dari Malaysia.

SEBUAH video kejutan yang dirakamkan oleh seorang rakyat Malaysia di Korea Selatan bukan sahaja membangkitkan kenangan mengusik jiwa, malah mengundang sebak netizen.

Video berdurasi dua minit itu menunjukkan rakaman beberapa rakyat Korea Selatan disapa dan ditegur, dan wajah mereka jelas terkejut, dalam masa yang sama gembira dengan kejutan tersebut.

Pemuda berkenaan, Mohammad Fairuz Junaidi berkata, video tersebut merupakan kompilasi rakaman yang dibuatnya pada tahun lalu semasa kembali ke Korea Selatan selepas pulang ke Malaysia untuk bercuti selama tiga bulan sempena cuti musim panas.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Korea Maryam You Narae buka cerita mengapa jatuh cinta dengan lelaki Melayu - "Senyuman dia comel, he is mine!"

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Korea fasih cakap Melayu rindu makanan Malaysia, iftar 1 Ramadan suami beli 10 bungkus nasi kerabu! - "Terkejut bunyinya kasar, maksud asal lapar macam nak mati"

Lebih mesra disapa Fairuz, pemuda berusia awal 30-an itu memberitahu, ia merupakan rutin yang dilakukannya sejak terlibat dalam bisnes pelancong di negara itu pada 2015.



Hassan Lee (tengah) bersama pelanggan Fairuz.

"Setiap kali saya kembali ke Seoul selepas balik bercuti di Malaysia, saya akan bertemu dengan penduduk-penduduk tempatan yang saya anggap seperti keluarga saya sendiri.

"Saya tak pernah post video tu sebelum ini, cuma baru berkongsi sebab rindu sangat dengan mereka. Pintu sempadan negara masih belum dibuka untuk rakyat ke luar negara, jadi saya mengubati kerinduan mereka di sana menerusi video ini," katanya kepada mStar.

Atas tuntutan kerja, dia sering membawa ramai pelanggan dari Malaysia melancong ke negara yang terkenal dengan muzik K-Pop itu dan kesemua individu yang di dalam video tersebut merupakan pengusaha mahupun pemilik premis yang pada mulanya merupakan rakan niaga.



Kak Salmah (kanan), bapanya (belakang, kanan) bersama pelanggan Fairuz.

Fairuz bagaimanapun menjelaskan bahawa hubungan itu kini lebih kepada sebuah keluarga kerana ikatan mereka sangat kuat meskipun berlainan bangsa dan budaya.

"Keluarga saya ada di Malaysia dan saya tiada siapa-siapa kecuali mereka. Dan mereka menganggap saya sebagai famili mereka dan sentiasa melayan saya dengan baik.

"Saya pernah mengalami demam panas berlarutan dan seorang daripada mereka yang kami gelar sebagai Kak Salmah bawa saya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan," katanya yang merupakan pengasas syarikat pelancongan dan pengembaraan.



Penjual kain bernama Noona (belakang, tengah) bersama sekumpulan rakyat Malaysia.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu turut memberitahu disebabkan hubungan baik itu, ada yang mahu menjodohkannya dengan anak perempuan mereka.

"Pakcik yang saya panggil Ahjushi dan dia berkenan sangat dengan saya sebab katanya personaliti saya yang menarik sesuai dengan anak perempuannya. Banyak kali juga dia ajak saya jumpa anaknya tapi saya anggap dia mahu bergurau.

"Begitu juga dengan Hassalan Kyup Lee, yang merupakan pemilik restoran beragama Islam. Setiap kali jumpa memang kami berpeluk sebab dah macam keluarga," tambahnya.

Menurut Fairuz, antara faktor yang membuatkan hubungannya bersama orang-orang Korea Selatan baik adalah kerana budaya mereka yang menghormati orang lain selepas berdisiplin.



Fairuz (kanan) bersama Hassan Lee.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu sebak ketika mengimbas kembali satu insiden membabitkan sekumpulan pelanggannya yang berkunjung ke negara itu pada 2018.

"Masa tu tetamu saya satu famili tertinggal satu beg di dalam tren di bandar. Di dalam beg tu ada semua pasport mereka, ada duit belanja pelanggan saya dan dompet isterinya.

Walaupun saya bukan orang tempatan, saya rasa sebak ketika itu sebab orang-orang di Korea Selatan begitu dekat dengan jiwa saya.

MOHAMMAD FAIRUZ JUNAIDI

"Kami buat laporan polis, dan pada sebelah petang beg itu dijumpai selepas ada orang awam serahkan kepada polis. Tiada satu pun barang atau duit di dalam beg tu hilang.

"Mereka bersyukur sangat dapat semula beg tu sampai isterinya menangis. Walaupun saya bukan orang tempatan, saya rasa sebak ketika itu sebab orang-orang di Korea Selatan begitu dekat dengan jiwa saya," katanya.



Fairuz mahu terus membuat kejutan apabila kembali ke Korea Selatan.

Kali terakhir berada di Korea Selatan pada akhir tahun lalu, Fairuz berkata, dia sering berhubung dan bertanya khabar dengan 'keluarga'nya itu, menerusi aplikasi mudah alih terkenal di Korea iaitu Kakao Talk sebagai pengubat rindu sejak pandemik Covid-19.

"Bila pintu sempadan dibuka semula saya akan kembali ke Korea Selatan, dan apa yang pasti saya tidak akan maklumkan mereka mengenai kedatangan saya dan membuat kejutan lebih hebat lagi setibanya di sana nanti," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain