suria

Nah! Doktor buka cerita bagaimana Pati dilayan ‘sebagai manusia’ di wad Covid-19, sangkal laporan Al Jazeera - “Apa lagi mereka mahu?”

Dr Kenneth (kiri) membuat penjelasan di Facebook berhubung tuduhan dalam dokumentari berita Al Jazeera yang turut memaparkan seorang warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir (kanan).

PERJUANGAN pasukan barisan hadapan dan rakyat negara ini dalam membasmi wabak Covid-19 semakin menghampiri kemuncaknya.

Jika disoroti saban hari, rekod jangkitan baharu amatlah rendah sekali gus memberi kelegaan kepada orang ramai.

Dalam sinar positif itu, terpalit pula isu layanan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) oleh pihak berkuasa negara ini dalam usaha menangani Covid-19 sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita Al Jazeera.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis mula siasatan terhadap laporan Al-Jazeera

ARTIKEL BERKAITAN: Tampil dalam dokumentari Al Jazeera, lelaki Bangladesh kini diburu Imigresen

Dokumentari terbaharu berjudul "Locked Up in Malaysia's Lockdown" yang berdurasi 25 minit 50 saat itu disifatkan memberi gambaran yang tidak tepat sehingga mencalarkan imej negara.

Enggan berdiam diri, seorang pengamal perubatan dikenali sebagai Dr Kenneth Wong Chen Fei tampil berkongsi nukilannya di laman Facebook.

Menurut Dr Kenneth, beliau bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, MAEPS Serdang, Selangor selama lebih sebulan dalam memberi rawatan kepada golongan Pati.

Dr Kenneth membuat perkongsian mengenai rawatan terhadap Pati menerusi Facebook miliknya.

"Semua Pati dilayan dengan adil dan baik. Kami menghormati mereka sebagai manusia. Makan tiga kali sehari. Setiap juadah ada sayur, daging dan nasi.

"Katil yang selesa dengan persekitaran pendingin hawa. Mereka diberi kelengkapan mandi, tuala dan pakaian lebih.

"Tiada siapa pun dilayan dengan buruk. Semua diberi kebebasan untuk bersolat dan pergi ke tandas. Apabila dibenarkan discaj, mereka diberi pakaian baharu," ujarnya.

Kami berdiri teguh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakyat Malaysia yang melakukan usaha terbaik dalam melawan Covid-19.

DR KENNETH WONG CHEN FEI

Menurut Dr Kenneth lagi, mereka turut diberi saringan percuma yang mana kos sebenar berharga sekitar RM300 sehingga RM400.

"Semua kerajaan Malaysia tanggung! What more do they want? Laporan Al Jazeera adalah tidak berasas dan tidak betul.

"Kami berdiri teguh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rakyat Malaysia yang melakukan usaha terbaik dalam melawan Covid-19," ujarnya.

Sehingga kini, posting itu menerima lebih 23,000 tanda suka (likes) dan dikongsi lebih 13,000 kali.

Dr Kenneth menyangkal laporan Al Jazeera yang seolah-olah memberi gambaran palsu mengenai cara Malaysia menangani Pati ketika pandemik Covid-19.

Malah, nukilan Dr Kenneth itu turut dikongsi di laman Facebook rasmi KKM.

Sementara itu, netizen turut menghujani posting berkenaan dengan pelbagai komen.

Rata-ratanya mengecam tindakan Al Jazeera dan mengucapkan syabas kepada Dr Kenneth atas penjelasan itu yang diharap dapat membuka mata ramai pihak.

Md Rayhan Kabir kini sedang dicari oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Imigresen Malaysia sedang memburu seorang lelaki yang ditembual Al Jazeera dalam dokumentari itu.

Md Rayhan Kabir, 25, dari Bangladesh kini dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain