suria

Dr Noor Hisham ‘bersuara’ tengok wajahnya dihasilkan guna serbuk koko... pelajar ada alasan kenapa Milo jadi pilihan

Potret wajah Dr Noor Hisham yang dihasilkan menggunakan serbuk Milo menjadi tular di media sosial.

NAMA Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sememangnya menjadi sebutan ramai sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Selain kata-kata pujian atas usahanya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ada pula yang menjadikan wajah figura itu sebagai karya seni mereka.

Jika sebelum ini tular potret Dr Noor Hisham yang diabadikan pada cawan minuman Starbucks, kali ini satu lagi potret figura itu menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelukis autistik batal hasrat berhijrah, Dr Noor Hisham sebabnya... potret pada cawan Starbucks tanda penghargaan – “Siapa lagi kalau bukan kita bangunkan negara”

ARTIKEL BERKAITAN: Ukuran ikut tangan bapa, ibu dedah Lara risau cucu Dr Noor Hisham tak muat gelang pemberiannya - “Warna dipilih ada maksud, cari sendiri di internet”

Lebih menarik, ia dihasilkan menggunakan serbuk minuman Milo oleh Abdul Naim Abdul Manaf, 24, yang juga pelajar jurusan Kaunseling di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mesra disapa Naim, dia mengakui idea itu datang tanpa diduga sewaktu menonton pelbagai video seni di laman YouTube.

"Idea mula datang secara tiba-tiba semasa saya sedang menonton video-video hasil seni. Saya tertarik dengan seni menggunakan medium macam pasir dan serbuk kopi. Kiranya ni kali pertamalah. So saya cuba cabar diri lepas nampak video tu.

Naim merupakan pelajar jurusan Kauseling di UUM.

"Potret wajah Dr Noor Hisham ini menjadi pilihan sebagai tanda penghargaan saya dan juga rakyat Malaysia terhadap kerja keras beliau seperti yang kita tahu di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," ujarnya kepada mStar.

Kata Naim, proses penghasilan potret itu hanya mengambil masa tiga jam, namun ia turut memberi cabaran buat dirinya.

Selain itu, pemilihan serbuk Milo juga mempunyai simbolik tersendiri yang membawa nilai sentimental untuk figura berkenaan serta keseluruhan rakyat negara ini.

Saya rasa bersyukur dan gembira atas penghargaan ini.

ABDUL NAIM ABDUL MANAF

PELAJAR

"Ia merupakan minuman harian saya dan saya yakin ia juga merupakan minuman kegemaran bagi sebahagian rakyat di negara ini.

"Jadi saya rasa ada nilai sentimental dekat situ jika karya ni melibatkan minuman yang digemari oleh seluruh rakyat Malaysia dilakar bersama lukisan tokoh yang dihormati oleh hampir kesemua masyarakat berbilang kaum di negara kita.

"Sebenarnya guna Milo ni susah bukan sebab serbuknya tu cepat 'bergerak'. Tapi susah sebab cepat mengeras, baru letak dalam seminit dah mula keras dan susah nak bentuk lukisan," ujarnya lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas posting tular itu, Naim mengakui tidak sangka ia bakal menerima perhatian ramai termasuklah Dr Noor Hisham sendiri yang 'bersuara' dengan memberi komen pujian menerusi laman Twitter.

"Brilliant skills development. Tahniah," tulis Dr Noor Hisham pada Isnin petang.

Kata Naim, komen ringkas figura kesayangan ramai itu ternyata membuatkan dia gembira dan rasa dihargai.

Foto yang dikongsi Naim menerusi laman Twitter.

"Saya rasa bersyukur dan gembira atas penghargaan ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan salam penghargaan buat beliau dan kesemua frontliners yang terlibat dalam menangani wabak Covid-19 ini.

"Saya harap Dr Noor Hisham dapat terus menjalankan tugas dengan cemerlang dan kekal sihat dan cergas," ujar Naim lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain