Pelukis autistik batal hasrat berhijrah, Dr Noor Hisham sebabnya... potret pada cawan Starbucks tanda penghargaan – “Siapa lagi kalau bukan kita bangunkan negara”

Pelukis autistik, Luqman mendapat pujian ramai selepas potret wajah Dr Noor Hisham hasil karyanya menjadi tular di media sosial.

NAMA Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sememangnya tidak lekang daripada bibir rakyat Malaysia yang sentiasa memuji dan mengkagumi komitmennya menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Di bawah seliaannya, jumlah jangkitan kes wabak maut itu berjaya dikurangkan dan kini dalam situasi yang terkawal.

Maka tidak hairanlah, rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan latar belakang begitu mengkagumi ketokohan yang ditunjukkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ukuran ikut tangan bapa, ibu dedah Lara risau cucu Dr Noor Hisham tak muat gelang pemberiannya - “Warna dipilih ada maksud, cari sendiri di internet”

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham Abdullah... Figura yang jadi sebutan kini, fakta ke-10 pasti kebanggaan diri dan keluarganya!

Tidak terkecuali bagi pemuda bernama Luqman Hakim Mohd Khialdin yang memandang tinggi kepada figura itu.

Pemuda berusia 27 tahun ini meluahkan rasa terima kasih dan penghargaannya menerusi karya yang cukup unik iaitu mengabadikan wajah Dr Noor Hisham pada cawan minuman kedai kopi popular, Starbucks.



Luqman mengabadikan wajah Dr Noor Hisham pada cawan minuman Starbucks sebagai tanda penghargaannya kepada figura berkenaan.

Karya tersebut yang dimuat naik di media sosial menjadi tular sehingga menarik perhatian Dr Noor Hisham Abdullah sendiri!

"Luqman Hakim, anda merupakan seorang artis yang sungguh berbakat. Bukan mudah untuk melukis potret ini di atas cawan Starbucks. Terima kasih dan teruskan usaha anda. Sesungguhnya anda miliki kemahiran yang berbakat," tulis Dr Noor Hisham pada Twitter miliknya.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang senang disapa Luqman ini berkata dia sememangnya sudah lama mahu melakukan sesuatu yang berbentuk penghargaan kepada Dr Noor Hisham.



Dr Noor Hisham turut membuat ciapan mengenai karya Luqman di laman Twitternya.

"Saya melukis di cawan Starbucks kerana ianya menjadi rutin saya untuk berbuat begitu di Starbucks untuk berehat.

"Tergerak hati untuk melukis potret Dr Noor Hisham apabila saya sedang berehat dari kerja melukis proposal komik di Starbucks.

"Saya terkejut kerana tidak percaya akhirnya Dr Noor Hisham sendiri yang berkongsi tweet tersebut," katanya.

Sungguhpun tidak pernah berpeluang untuk mengenali Dr Noor Hisham secara lebih dekat, namun Luqman berkata dia berbangga dengan tokoh tersebut yang bertungkus lumus berusaha menyelamatkan Malaysia ketika seluruh dunia panik kerana diserang wabak Covid-19.



Luqman bersama dua individu yang memainkan peranan penting terhadap perkembangan kerjayanya iaitu N. Neesha (kiri) dan Hubert Ian Lee (kanan).

"Dalam hal ini ia menambah rasa sayang dan setia saya pada negara Malaysia. Saya pernah terfikir untuk berhijrah ke luar negara bagi mengembangkan profesion saya.

"Tetapi dengan usaha yang dilakukan Dr Noor Hisham, saya berasa siapa lagi kalau bukan kita untuk membangunkan negara kita.

"Di kala negara lain menghadapi pelbagai krisis dan cabaran menangani wabak Covid-19, Dr Noor Hisham membuktikan sebenarnya kita boleh lakukan yang mustahil dan membuktikannya pada dunia.

Autism tidak bermakna seseorang itu cacat, tetapi mereka mempunyai lebih banyak cabaran berbanding orang lain seperti kemahiran dalam bersosial dan berkawan.

LUQMAN HAKIM MOHD KHIALDIN

PELUKIS

"Tentu sekali saya amat berbangga dan terharu jika diberi peluang berjumpa seorang wira negara yang bukan sahaja menyelamatkan Malaysia, tetapi menambah persepsi semangat cinta akan negara," ujarnya yang merupakan seorang pelukis bebas.

Bercerita lebih lanjut mengenai lukisan tersebut, Luqman berkata dia mengambil masa kira-kira satu jam untuk menyiapkannya dengan menggunakan pen dakwat pigmen dan render marker.



Luqman mula melukis sejak kecil namun menjadikannya sebagai kerjaya ketika berusia 17 tahun.

Ditanya bagaimana bakat dirinya mula dikesan, pemuda ini berkata dia melukis sejak kecil namun mula serius untuk menjadikannya sebagai kerjaya ketika berusia 17 tahun.

"Apa yang lebih penting adalah disiplin saya untuk berlatih melukis setiap hari selama 10 hingga12 jam atau lebih," ujarnya.

Kelihatan normal pada luaran sebagaimana pemuda lain, namun Luqman merupakan seorang pemuda autistik, malah dia sendiri tidak segan untuk mengakuinya apabila meletakkan pengenalan 'Autistic Artist' pada bahagian bio di media sosial.



Antara karya yang dihasilkan oleh Luqman.

"Autism tidak bermakna seseorang itu cacat, tetapi mereka mempunyai lebih banyak cabaran berbanding orang lain seperti kemahiran dalam bersosial dan berkawan. Cabaran itu boleh dibentuk dengan cara yang betul dengan mengikut prosedur doktor.

"Bagi saya untuk berdiri sama seperti orang lain, saya perlu terus berusaha tanpa perlu terlalu banyak bergantung kepada bantuan orang lain. Cabaran tetap akan wujud. Tanpa cabaran kita tidak akan membentuk diri kita sebagai manusia," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Klik

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Artikel Lain