suria

Tampil dalam dokumentari Al Jazeera, lelaki Bangladesh kini diburu Imigresen

Jabatan Imigresen Malaysia memohon orang ramai membatu pihak mereka menjejaki lelaki Bangladesh ini.

JABATAN Imigresen Malaysia sedang memburu seorang lelaki yang ditembual Al Jazeera dalam laporan berjudul "Locked Up in Malaysia's Lockdown."

Md Rayhan Kabir kini dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis mula siasatan terhadap laporan Al-Jazeera

Berumur 25 tahun, alamat terakhir lelaki dari Bangladesh itu didaftarkan di Menara Uncang Emas, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dipohon supaya dapat menghubungi terus Penolong Pengarah Imigresen (PPI) Nurulmasha Nazlinan Bin Hussin, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di talian 03-88801298/1294 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat," ujar kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis sudah menjalankan siasatan di bawah beberapa akta termasuklah Akta Hasutan.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Bernama pada Isnin melaporkan Ketua Polis Negara berkata laporan yang dikeluarkan agensi berita tersebut yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan PDRM. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain