suria

Hanya tinggal 1 kes aktif kluster jemaah tabligh Seri Petaling - “Harap dalam seminggu, dua dapat tamatkan pengawasan, pemantauan”

Kluster perhimpunan di masjid Seri Petaling kini tinggal hanya satu kes aktif. Gambar hiasan/Foto Bernama

KLUSTER Covid-19 terbesar negara iaitu kluster perhimpunan jemaah tabligh di masjid Seri Petaling kini mencatatkan hanya satu kes akftif, pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berharap kluster tersebut akan ditamatkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

"Kita harap dalam masa terdekat, dalam tempoh seminggu, dua, kita akan tamatkan pengawasan dan pemantauan dalam kluster perhimpunan di masjid Seri Petaling.

"Ini merupakan satu kejayaan dengan kerjasama bersepadu antara Kementerian (Kesihatan) dan agensi-agensi lain dalam melaksanakan tindakan untuk mengesan mereka.

"Kerjasama daripada jemaah tabligh pun baik iaitu kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk tampil melaksanakan ujian. Kalau kita bekerjasama bersepadu dengan kerajaan dan orang ramai, nescaya kita dapat membendung Covid-19 dalam negara kita," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bilakah kes dalam kluster perhimpunan masjid di Seri Petaling akan berkurangan kepada sifar.

Terdahulu, pada sidang media sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 42,023 sampel diambil dan jumlah kes positif adalah 3,375 kes bagi kluster perhimpunan masjid di Seri Petaling.

"Kes yang masih aktif hanya tinggal satu kes sahaja. Kes yang sembuh telah meningkat kepada 3,340 kes.

"Kes kematian jemaah tabligh kekal 34 kes," katanya sambil menambah bahawa kluster tersebut melibatkan lima generasi.

Dr Noor Hisham berkata, pada 9 Mac lalu negara dikejutkan dengan kluster perhimpunan tersebut, melibatkan 16,000 jemaah yang terdiri daripada 14,500 warga tempatan dan 1,500 warga asing.

"Masa kita kesan pada 9 Mac lalu, kebanyakan mereka telah pun kembali ke kampung halaman masing-masing.

"Tindakan kita adalah tindakan yang bersepadu dengan kerjasama semua pihak telah berjaya mengesan dan mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh," katannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain