suria

Mahkamah perintah anak Najib bayar tunggakan cukai RM37.6 juta

Mohd Nazifuddin diarahkan membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta kepada LHDN. - fotoBERNAMA

DATUK Mohd Nazifuddin Najib dikehendaki membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Isnin.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman terhadap anak lelaki bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi.

Dalam penghakiman, Ahmad Zaidi, berkata, antara lain, LHDN sebagai plaintif telah membuktikan secara jelas tuntutannya manakala Mohd Nazifuddin, selaku defendan, gagal menunjukkan merit dalam penyata pembelaannya.

Kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai tahun lalu, mendakwa Mohd Nazifuddin, 37, masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2011 sehingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019. - BERNAMA

Artikel Lain