suria

Wanita Korea fasih cakap Melayu rindu makanan Malaysia, iftar 1 Ramadan suami beli 10 bungkus nasi kerabu! - “Terkejut bunyinya kasar, maksud asal lapar macam nak mati”

Ryzal bertemu Maryam bertemu buat pertama kalinya di sebuah kedai roti milik wanita itu di stesen subway di Korea pada 2017.

MACAM mana nak kahwin dengan orang Korea?

Itu antara pertanyaan seorang netizen selepas terhibur melihat gelagat seorang wanita Korea Selatan bertutur dalam bahasa Melayu.

Video gelagat wanita tersebut mengadu lapar kepada suaminya dengan menggunakan bahasa pasar ‘lapar nak mampus’ dikongsi seorang pengguna Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati terpaut saat dipujuk ketika menangis, jejaka Guinea pilihan anak Kedah ini bukan biasa-biasa!

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah beritahu mak, jangan terkejut tengok dia” - Jururawat pilih suami Sudan, yang kutuk biar 'kutip dosa kering'

Perkongsiaan video itu mendapat lebih 700,000 tontonan dan 51,500 ulang kicau di platform media sosial itu.

Wanita dalam video tersebut yang dikenali sebagai Maryam You Narae, 28, sebenarnya isteri kepada pemuda dari Kota Bahru, Kelantan, Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, juga berusia 28 tahun.

Pasangan ini disatukan pada Ogos tahun lalu.

Pasangan ini pernah tular sebelum ini selepas kedua-duanya disatukan sebagai suami isteri pada Ogos tahun lalu.

Menurut Nik Muhammad Ryzal, dia sendiri terkejut apabila terdengar isterinya menyebut perkataan yang kedengaran agak kasar itu.

“Sebetulnya memang saya ajar tapi bukan untuk tujuan pelik-pelik sebab saya cuma translate ayat asal dalam bahasa Korea (Paegukpa Juketnae) maksudnya lapar macam nak mati.

“Tapi saya gantikan dengan mampus sebab orang kita banyak gunakan perkataan tu. Bila saya dengar dia cakap macam tu masa live dekat IG memang saya terkejutlah.

“Tu sebab saya tegur dia dalam video tu minta dia jangan sebut ayat tu depan orang ramai. Tapi saya sendiri pun tak sangka video tu dapat perhatian ramai, ” katanya kepada mStar.

Ryzal terpikat dengan kejelitaan dan keperibadian Maryam yang berbeza dengan gadis Korea yang lain.

Jelas anak sulung daripada lima beradik itu, isterinya sering berinteraksi dengan peminatnya di Instagram menggunakan bahasa Melayu.

“Setakat ni dia boleh faham perkataan yang mudah. Saya pun terkejut jugalah. Dia selalu buat live video dengan follower dia.

Saya rindu makanan Malaysia macam nasi lemak, sambal belacan dan durian Musang King. Saya sedihlah tak dapat balik kampung sebab tak boleh makan sate, makanan kesukaan saya sebab Covid-19.

MARYAM YOU NARAE.

Wanita Korea.

“Dia baca komen-komen kemudian dia tanya maksud. Dia banyak belajar sendiri. Kalau ikutkan saya ajar dia tak banyak. Saya suka ajar dia benda basic.

“Benda-benda lain dia cari sendiri. Saya ada belikan buku bahasa Melayu untuk dia. Jadi ada perkataan dia tak faham dia akan buka dan cari, ” katanya yang menetap di Seoul, Korea Selatan.

Mengenai Ramadan kali ini, Ryzal menyifatkan tahun ini cukup istimewa buat dirinya kerana dapat bersahur dan berbuka puasa bersama isterinya.

Pasangan ini sepatutnya mengadakan majlis persandingan di Kota Bahru, Kelantan pada raya keenam tetapi terpaksa dibatalkan.

“Ini first time Ramadan dengan wife. Alhamdulillah setakat ini dia berjaya berpuasa. Malah wife juga tak cerewet dengan makanan Malaysia.

“Hari pertama kami berbuka dengan nasi kerabu. Dia mengidam nasi tu sebab pernah makan masa di Malaysia.

“Saya carikan dan beli 10 bungkus. Dua tiga hari jugalah kami berbuka makan nasi kerabu. Wife biasanya akan makan budu bersama nasi tersebut, ” katanya.

Pasangan ini turut merancang untuk pulang ke Kota Bahru, Kelantan untuk menyambut Syawal bersama keluarga tetapi terpaksa dibatalkan kerana wabak Covid-19.

“Agak sedih sebab kami sepatutnya mengadakan majlis persandingan pada raya keenam. Apa pun kami tak nak ambil risiko kerana tak nampak wabak ini akan reda dalam masa terdekat.

Maryam amat menggemari makanan Malaysia seperti nasi kerabu, nasi lemak, sate dan durian Musang King.

“Ini kiranya kali pertama saya tak baik raya. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan. Keluarga reda yang penting keselamatan kami diutamakan, ” katanya.

Sementara itu, Maryam turut meluahkan rasa sedih kerana hasrat untuk makan sate sekembalinya ke Malaysia seminggu sebelum Syawal tidak kesampaian.

“Saya rindu makanan Malaysia macam nasi lemak, sambal belacan dan durian Musang King. Saya sedihlah tak dapat balik kampung sebab tak boleh makan sate, makanan kesukaan saya sebab Covid-19, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain