Model baju Melayu ‘transparent’ nampak puting jawab isu lutut terdedah – “Kalau saya punca, minta maaf”

(kiri) Kyrz semasa memperagakan busana baju Melayu yang mencetuskan kontroversi. Foto Mono.Mikael (kanan) Kryz tampil memberi penjelasan berhubung kontroversi bagi selepas dia turut menerima kecaman netizen. Foto instagram kryzchanwy

BAJU Melayu yang jarang hingga menampak tubuh badan model lelaki pada sebuah pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur, baru-baru ini, mencetuskan kontroversi.

Baju yang menampakkan puting model itu dikritik netizen, termasuk seluar daripada kain jarang, dan hanya ditutupi dengan samping yang dipakai model.

Model yang memperagakan busana itu secara tidak langsung turut menerima tempias, apabila mendapat kecaman netizen antaranya kerana tidak menghormati budaya Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami memang nak tunjuk bahagian dalam” - Kecoh baju Melayu Hari Raya ‘transparent’ nampak puting, samping atas lutut

ARTIKEL BERKAITAN: “Baju Melayu tak ketat, model tu sado sangat!”

Model berkenaan, Chris Chan atau lebih dikenali sebagai Kryz berkata, dia menerima dengan hati terbuka apabila dilabelkan sebagai ‘model baju Melayu puting’.

Busana yang dipakai Kryz turut mendedahkan bahagian lutut semasa pertunjukan pentas. Foto Mono.Mikael

Malah, pemuda berusia 25 tahun itu tampil menjelaskan mengenai dakwaan dia menarik samping yang dipakainya ketika memperagakan baju tersebut sehingga bahagian lututnya terdedah.

“Sebagai model, saya pakai apa saja yang diberikan. Jadi, pada hari itu saya langsung tak buat apa-apa.

“Mungkin kedudukan samping saya berubah kerana pergerakan saya. Kebetulan, saya disiapkan lebih awal. Kalau saya punca ia berubah, saya minta maaf,” katanya menerusi penjelasannya secara terbuka menerusi video kepada mStar.

(kiri) Kryz merupakan pemegang Mister Asian Millennium Universe 2020. (kanan) Kryz semasa menjuarai Mister Global Malaysia 2019, tahun lalu. Foto instagram kryzchanwy

Kryz yang merupakan pemenang pertandingan ikon lelaki, Mister Global Malaysia 2019 turut memohon maaf sekiranya penglibatannya sebagai model pada pertunjukan tersebut dikatakan mencemarkan imej baju Melayu.

“Saya bukan Melayu dan bukan Islam, tapi saya rasa bersalah kerana kecilkan hati ramai orang menerusi foto itu. Saya minta maaf.

“Saya sendiri suka pakai baju Melayu, tetapi bukannya jarang. Saya minta maaf sekiranya penglibatan saya mencemarkan imej baju Melayu,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur. 

Kryz sebenarnya suka memakai baju Melayu. Foto instagram kryzchanwy

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pemasaran di Universiti HELP di Kuala Lumpur itu turut belajar dari pengalaman, susulan kontroversi yang berlaku.

“Banyak yang saya tahu, lebih-lebih lagi baju Melayu. Terima kasih, saya mahu terus belajar,” katanya yang memenangi pertandingan Mister Asian Millennium Universe 2020, baru-baru ini.

Saya sendiri suka pakai baju Melayu, tetapi bukannya jarang. Saya minta maaf sekiranya penglibatan saya mencemarkan imej baju Melayu

KRYZ

Malah, kritikan netizen memberi semangat kepada anak bongsu daripada tiga beradik itu untuk terus menjadi model.

“Saya tak akan serik... kalau serik saya akan berhenti jadi model. Jika saya terima tawaran, saya lebih hati-hati. Saya pernah jadi model seluar dalam, jadi tidak kira dedah badan atau tidak, itulah kerja saya.

Terdahulu, penganjur pertunjukan fesyen itu menjelaskan bahawa baju jarang yang diperbuat daripada kain net itu sebenarnya bukan untuk dijual sebagai siap dipakai (ready to wear).

Kryz banyak belajar daripda pengalaman susulan kontroversi baju Melayu jarang. Foto instagram kryzchanwy

Bercakap kepada mStar, Firdaus Abdul Razak berkata, baju tersebut hanya untuk menunjukkan kualiti jahitan dalam pada pakaian mereka yang dihasilkan menerusi tempahan (custom made) sahaja.

Mengenai bahagian lutut model lelaki yang terdedah ketika memperagakan baju tersebut, Firdaus yang lebih dikenali sebagai Afeer menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tidak disengajakan.

“Sepatutnya saya rancang paras lutut. Kemudian staf saya siapkan (pada model) tu pun paras lutut ngam-ngam. Tapi kita siapkan tu sejam lebih sebelum acara bermula.

“Mungkin model ada tarik (samping) ke atas, atau tertarik ke atas sebab kita siap tu awal. Tak disengajakan sebab rancangan kami, samping tu ngam-ngam paras lutut,” katanya sambil memohon agar semua pihak jelas dengan kekeliruan tersebut.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain