suria

Dapat 10A selepas ambil exam di wad... ramai tak tahu sebenarnya remaja ini menderita skizofrenia - “Ada orang nak tekup muka saya dengan bantal”

Remaja bernama Iman didiagnos menghidap skizofrenia di mana ia berpunca daripada 'body shaming' oleh rakan sejak di bangku sekolah rendah.

MUNGKIN sesetengah orang merasakan isu penghinaan terhadap rupa parasa dan fizikal seseorang atau body shaming merupakan isu yang remeh.

Tanpa mereka ketahui, individu yang menjadi mangsa kepada perlakuan tersebut sebenarnya menderita gara-gara sikap tidak sensitif golongan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Baring di lantai jam 3 pagi menangis pandang siling, lari keluar kelas, tapi gadis alami gangguan mental ini dapat 11A dalam SPM, PT3... ini nasihatnya!

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya mesej emak, beritahu tak mahu teruskan hidup” - Kulit muka teruk, dipukul dan dihentak sehingga ganggu otak... gadis ini derita depresi

Sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang remaja ini, dia mendedahkan dirinya menderita sehingga didiagnos menghidap skizofrenia selepas menjadi mangsa body shaming rakan di sekolah.

Hanya mahu dikenali sebagai Iman, remaja ini berkata bentuk fizikal badannya menjadi bahan ejekan sejak sekolah rendah lagi.

Kesan torehan gunting di lengan Iman (kiri) dan juga parut yang masih kelihatan sehingga kini (kanan). 

“Saya kena body shaming sejak darjah lima. Budak-budak lelaki memanggil saya gemuk. Dan ada seorang budak lelaki ini gelar saya dengan satu panggilan. Benda itu berlanjutan sehingga saya sekolah menengah,” katanya kepada mStar.

Iman berkata dia mula menyedari dirinya berdepan dengan isu kesihatan mental ketika berusia 14 tahun.

“Saya struggle isu kesihatan mental sejak 2017.  Pada bulan Mac 2018, saya bercerita secara terbuka dengan keluarga dan kemudian mereka bantu saya dapatkan rawatan.

“Tapi saya bukan pergi dan terus kena diagnos. Ia mengambil masa (rawatan) selama enam bulan. Dan doktor akhirnya diagnos saya menghidapi skizofrenia dengan simptom kebimbangan,” katanya.

Ubat-ubatan yang diambil Iman bagi mengubati penyakit yang dihidapinya. 

Menurut Iman, pada peringkat awal berdepan dengan masalah tersebut, dia mengalami simptom seperti kerap terdengar suara-suara ghaib di samping terlalu berfikir di luar batasan (overthinking) mengenai sesuatu perkara.

“Saya selalu dengar suara-suara yang selalu suruh saya bunuh diri atau bunuh ahli keluarga. Ketika itu saya selalu rasa nak bunuh diri. Saya juga selalu rasa ada orang tak suka dengan saya... orang cakap di belakang saya. Saya selalu overthinking tentang setiap perkara.

“Kadang-kadang suara tu tak cakap pun, dia akan panggil nama saya dan bila saya berpaling suara itu hilang. Saya juga ada satu perasaan yang rasa ada orang cuba nak tekup muka saya dengan bantal bila saya tidur. Saya juga dengar bunyi enjin kereta tiap-tiap malam sedangkan rumah saya jauh dengan jalan raya,” cerita Iman.

Iman berkata, dia juga pernah beberapa kali mencederakan diri sendiri ketika mindanya berada di luar sedar.

“Saya toreh tangan dengan gunting. Kesannya ada hingga sekarang. Ia terjadi di luar sedar. Biasanya saya akan menangis dan ibu yang akan tenangkan saya,” cerita Iman.

Luahan hati Iman yang dimuat naik di Twitter mengenai kisahnya menderita skizofrenia.  

Bercerita lebih lanjut, remaja berasal dari Terengganu ini berkata, ejekan daripada rakan-rakan membuatkannya tekad untuk menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, disebabkan kaedah diet yang tidak betul, Iman dimasukkan ke hospital sehingga dia terpaksa mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ketika masih menerima rawatan.

“Doktor diagnos saya menghidap penyakit refluks gastroesofageal atau GERD. Dan masa saya Tingkatan Tiga, penyakit itu semakin kuat dan menyebabkan saya pergi ke sekolah selama tiga bulan saja pada tahun lepas. Dan saya ambil PT3 di hospital. Alhamdulillah saya berjaya dapat 10A. 

“Saya juga berjaya turunkan berat badan sebanyak 30 kilogram dalam masa setahun, tapi masa kurus pun kena body shaming,” ujar anak keempat daripada lima adik beradik ini lagi.

Lebih setahun menerima rawatan, Iman berkata keadaannya semakin pulih dan ia didorong oleh pelbagai faktor.

Saya selalu dengar suara-suara yang selalu suruh saya bunuh diri atau bunuh ahli keluarga. Ketika itu saya selalu rasa nak bunuh diri. Saya juga selalu rasa ada orang tak suka dengan saya... orang cakap di belakang saya. Saya selalu overthinking tentang setiap perkara.

IMAN

PESAKIT SKIZOFRENIA

“Memasuki Tingkatan Empat, saya buat keputusan untuk pindah ke sekolah baharu. Saya rasa semakin pulih sebab ada rakan baharu dan keluarga. Saya kembali menjadi seorang yang ceria and talkative tapi dalam kalangan keluarga sajalah.

“Saya juga suka follow orang yang boleh beri inspirasi kepada saya untuk menjadi lebih sihat terutama dalam hal keadaan mental. Al Quran juga membantu, sebab bila saya baca Al Quran, saya rasa tenang. Saya juga suka dengar lagu,” ujar Iman.

Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan, Iman berharap agar dia mampu melakukan yang terbaik bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus membanggakan ibu bapa dan keluarganya.

“Saya nak fokus kepada benda yang akan tentukan masa depan dan benda yang buat saya rasa gembira, iaitu keluarga saya. Saya dah tak mahu susahkan mereka.

“Saya juga nak cakap kepada orang luar sana, tolong hentikan body shaming sebab ia boleh buat seseorang tu lemah semangat.

“Kepada yang struggle dengan isu kesihatan mental, tolong cepat dapatkan rawatan sebab benda ini lama-lama akan memakan diri kita sendiri,” akhirinya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
skizofrenia, rawatan, bunuh diri, bantal, PT3

Artikel Lain