suria

Cikgu menangis lihat murid darjah 1 ceria bawa ibu ayah buta lawat sekolah, tunjuk kelasnya- “Mana pondok mak nak tunggu kamu?”

Kisah seorang murid yang memimpin tangan ibu dan bapanya yang cacat penglihatan sewaktu sesi orientasi baru-baru ini begitu menyentuh hati netizen. Foto: FB Nadwa Nasir

“MATA masuk habuk”, demikian komen netizen yang tersentuh hati melihat perkongsian oleh seorang pengguna Facebook mengenai kisah seorang murid yang baru memasuki Tahun Satu.

Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Nadwa Nasir itu, dia menceritakan kisah seorang murid perempuan yang hadir bersama kedua-dua orang tuanya sewaktu sesi orientasi baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terima duit cikgu, jawapan pelajar ini buat ramai kagum... Neelofa pun - “Dia pernah menangis, tak mahu kecewakan guru”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa pertikai kerja sekolah bertimbun masa cuti raya, “Macam mana nak didik bab akhlak kalau sekolah bagi homework”

Apa yang menyentuh hati, murid berkenaan yang bertindak memimpin tangan ibu bapanya kerana kedua-duanya cacat penglihatan.

Cerita guru berkenaan, sungguhpun kedua-dua orang tuanya berjalan dengan bantuan murid perempuan tersebut berserta tongkat, si anak tetap gigih menunjukkan lokasi kelas serta beberapa lokasi lain di sekitar sekolahnya. 


Posting yang dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Nadwa Nasir begitu menyentuh hati netizen.

“Selesai orientasi, dia pimpin mak ayah dia…. Tunjuk kelas dia kat mana, padang kat mana, kantin kat mana. Macam la mak ayah dia boleh melihat.

“Mak, sini la kantin.. Mak, sini padang sekolah. Mak dia tanya dia ‘mana pondok mak nak tunggu kamu nanti?’.

“Dia jawab ‘sini la mak, dekat sini’. Padahal depan dia je pondok tu tapi si anak tetap explain macam nampak-nampak saja,” tulis guru itu dalam coretannya.

Guru tersebut turut memuatnaik sekeping gambar bagi menceritakan situasi yang menyentuh hati itu.

Melihatkan keadaan itu, guru berkenaan berkata dia tidak dapat menahan air mata kerana kagum dengan ketabahan anak sekecil itu.

Rata-rata netizen yang meluahkan rasa sebak dan kagum dengan ketabahan murid perempuan berkenaan. 

“Jatuh air mata aku melihat seorang anak kecil. Memimpin mak ayahnya yang tidak dapat melihat ke orientasi Tahun 1. Dia sendiri menulis nombor handphone mak ayah…walau baru bertatih menulis…walau nombornya terbalik.

“Kuatnya kamu wahai anak. Berdikarinya kamu pada usia terlalu muda ini. Teacher doakan kamu berjaya dunia akhirat. Kamu yang paling kuat. Buat teacher rasa teacher perlu kuat lebih dari kamu bagi menempuhi 2020,” tulis guru tersebut lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 12,000 perkongsian di Facebook, selain dibanjiri dengan ribuan komen netizen.

Rata-ratanya meluahkan rasa sebak mengenangkan betapa tabahnya murid perempuan tersebut di kala rakan sebaya yang lain gembira dilayani ibu bapa masing-masing.

“Mata masuk habuk la,” tulis seorang pelayar.

“Alahai anak.. air mata makcik tiba-tiba turun dengan lajunya. Semoga Allah pelihara kamu dan permudahkan segala urusanmu anak,” komen seorang pelayar lain.

“Tersentuh hati melihat akan anak yang membawa ibunya OKU, moga anak ini mendapat kecemerlangan di dunia dan akhirat, amin,” komen pelayar lain. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain