Sahabat berkelakuan pelik, segalanya terjawab ketika konvoi jalan-jalan cari makan, “Dia cakap hal mati, kemalangan dan rindu arwah ibu bapa”

Afiq (kanan) terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan arwah buat kali terakhir Isnin lalu.

"ARWAH merupakan sahabat yang sangat baik dan paling rapat dengan saya," luah Muhammad Afiq Amiruddin.

Afiq yang masih bersedih dengan kehilangan sahabat baiknya pada Isnin lalu memberitahu, kehilangan Hanif Shahibuddin memang tiada pengganti.

Jelas anggota polis berusia tahun 21 ini, sahabatnya itu meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menuju ke Yong Peng, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Mengimbas kembali hubungan persahabatan dengan arwah, Afiq memberitahu mereka berdua berkawan sejak kecil lagi.

"Kami tinggal di kawasan perumahan yang sama di Kuala Lumpur, membesar bersama sehingga ke sekolah menengah.

Afiq (kanan, depan) bersama Hanif (kiri, depan) dan dua sahabat mereka (belakang).

"Dia seorang yang rajin bekerja dan pentingkan hubungan persahabatan," katanya mengenai sahabatnya itu yang juga pencinta kucing.

Selain arwah, katanya, mereka mempunyai 19 lagi rakan baik yang memang akan sentiasa bersama, di waktu susah dan senang.

"Sehingga sekarang saya masih tidak percaya dia telah meninggal dunia," luah Afiq sayu kepada mStar.

Menurut Afiq, pada hari kejadian, Hanif dan lebih kurang enam rakan lain berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Yong Peng menaiki motosikal.

"Sebelum ini dalam group sembang WhatsApp memang ada mereka ajak untuk berkonvoi, jalan-jalan cari makan.

"Namun saya tidak dapat sertai mereka kerana menjalani kursus di Muar, tapi memang merancang untuk bertemunya di sana kerana Yong Peng dengan tempat saya taklah jauh sangat... tapi tiba-tiba terima mesej Hanif meninggal dunia.

Selepas ibu bapanya meninggal dunia pada tahun 2017, kamilah tempat dia mengadukan dan berkongsi cerita selain kakak dan abangnya.

MUHAMMAD AFIQ AMIRUDDIN

"Memang saya terkejut dan sedih. Kali terakhir saya bertemu dengannya awal bulan lepas ketika pulang ke KL dari tempat saya bertugas di Selama, Perak," kongsinya.

Tambah Afiq lagi, dia menyedari selepas pertemuan bulan lalu, perangai Afiq agak pelik kerana lebih banyak mendiamkan diri dan jarang menghubungi dirinya.

"Dia bukan seperti itu. Malah sebelum dia meninggal dunia arwah ada cakap rindu dekat kedua ibu bapanya, ada bercakap tentang mati dan kemalangan.

"Cuma tak sangka ajalnya itu seperti yang pernah dia sebut," jelas anak ketiga daripada lima orang adik beradik ini.

Menurut Afiq, dia sangat bersyukur kerana bersahabat dengan orang yang baik seperti Hanif.

Hanif selalu menjadi model rakaman Afiq.

"Dia sangat menyayangi rakan-rakan baiknya. Pantang dengar antara kami berdepan dengan kesusahan, dialah orang pertama yang menghulur pertolongan.

"Selepas ibu bapanya meninggal dunia pada 2017, kamilah tempat dia mengadu dan berkongsi cerita selain kakak dan abangnya.

"Apa yang saya sedar, satu perangai yang ada padanya adalah suka pada kucing.

"Kadang-kadang kalau kami ternampak kucing, dia sanggup pergi beli makanan semata-mata untuk diberikan kepada haiwan itu," jelas Afiq.

Afiq turut berkongsi kisah sahabatnya di laman Twitter.

Dalam pada itu, Afiq mengakui dia suka merakam gambar-gambar pemandangan ketika berjalan-berjalan.

"Arwahlah yang selalu jadi model saya ketika ingin merakam sebarang gambar pemandangan.

"Dia seorang yang sporting dan memori inilah yang saya akan simpan sampai bila-bila.

"Saya berharap sesiapa yang mempunyai sahabat baik, hargailah mereka kerana apa yang penting bagi saya adalah bukan kuantiti tetapi kualiti seorang," jelasnya.

sahabat, meninggal dunia, pelik

Artikel Berkaitan

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Artikel Lain