suria

Diraba lelaki ketika baru berusia 10 tahun buat wanita ini trauma sepanjang hayat, "Tiada maaf untuk pedofilia... mereputlah dalam penjara selamanya"

Mangsa diraba seorang lelaki yang tidak dikenali. Gambar sekadar hiasan.

PENGALAMAN diraba oleh  lelaki dewasa pada 1999 menjadikan diri seorang wanita menjadi trauma sepanjang hidupnya.

Perkataan pedofilia memang menghantui hidup seorang wanita dikenali Heydahyun yang berkongsi pengalamannya di Twitter.

Menurut Heydahyun, sebagai mangsa pedofilia, dia tidak akan memaafkan individu tersebut kerana hidupya dibelenggu trauma sepanjang 20 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Label pesalah pedofilia ‘akan sakiti anak anda’ bukan caranya, amaran Syed Azmi “Jangan dekati kanak-kanak, atas talian atau dunia sebenar!”

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak dicabul di pasar raya, lelaki durjana diburu polis

Lebih menderita apabila trauma itu seakan ‘membunuh’ kehidupannya secara perlahan-lahan.

Jelas Heydahyun, pedofilia adalah jenayah paling teruk berbanding kes-kes lain.

“Kisah ini terjadi ketika saya berusia 10 tahun. Zaman saya dulu, umur seperti ini masih ‘innocent’ , bermain kejar-kejar lagi berbanding  zaman sekarang.

Gambar hiasan.

“Satu malam pada 1999, mak ajak ke kedai runcit untuk beli barangan rumah. Saya pun dengan gembira ikut mak, tujuannya nak boleh bodek beli aiskrim dan jajan.

“Kami sampai ke kedai runcit yang kelihatan agak sunyi. Mak saya dah siap ambil bakul dan cari barang-barang.

“Mulanya saya memang mengekori di belakang mak, tapi disebabkan nak cari mainan dan makanan, saya melencong ke bahagian lain,” tulisnya.

Menurut Heydahyun, ketika asyik berjalan-jalan sambil mencari mak, tiba-tiba muncul seorang lelaki dewasa berjalan menuju ke kedai itu.

“Saya hanya pandang sekilas dan matanya tertumpu pada saya sambil berjalan.

“Semasa berselisih bahu, dia meraba kemaluan saya sebelum masuk ke kedai runcit dan buat seperti tiada apa berlaku.

Saya nampak lelaki itu sambil dia tersenyum sinis. Meremang bulu roma saya melihat dia seolah-olah bangga dengan perbuatannya.

MANGSA PEDOFILIA


“Saya memang terkejut, malu dan rasa nak menangis, terus cepat-cepat cari mak.

“Ketika itu saya tak menjerit sebab takut. Saya tak tahu nak buat apa-apa,” luahnya.

Selepas selesai membeli barang, Heydahyun mengekori emaknya memasuki kereta.

“Saya nampak lelaki itu sambil dia tersenyum sinis. Meremang bulu roma saya melihat dia seolah-olah bangga dengan perbuatannya.

“Ketika itu hati saya sakit sangat. Saya geli dan jijik dengan diri sendiri. Malam itu saya tidur dalam tangisan dan trauma.

“Malah selepas kejadian itu, saya jadi pendiam dan tidak bergaul dengan budak-budak lelaki lain. Saya jadi anti lelaki dan pembenci,” kongsinya lagi.

Sebahagian daripada 'thread' perkongsian Heydahyun mendapat lebih 6,000 ulang kicau.

Pengalaman itu juga telah membuatkan Heydahyun membesar dalam keadaan depresi.

“Setiap malam saya akan menangis seorang diri dalam bilik. Walaupun sekarang sudah berusia 30 tahun, saya masih ingat dengan jelas apa yang lelaki itu buat.

“Dan sebab pedofilialah saya tidak boleh berkahwin dan mendapat kehidupan yang normal kerana keadaan kesihatan mental saya.

“Trauma ini telah mengubah hidup saya 180 darjah,” ujarnya.

Tambah Heydahyun, hubungan sosialnya juga terganggu dek pengalaman hitam itu. Katanya, dia juga terpaksa berhenti kerja jika pekerjaan itu melibatkan lelaki kerana tidak dapat menerima keadaan itu.

Sebahagian daripada komen-komen netizen berkaitan posting Heydahyun.

“Akhirnya saya mula dengan bisnes online dan ia membuatkan minda saya sedikit tenang.

“Saya trauma hanya kerana diraba dan tak dapat saya bayangkan kanak-kanak yang dirogol, dicabul dan dimanipulasi oleh pedofilia.

“Pastinya trauma mereka lebih dasyat.

“Saya hanya mahu berpesan kepada ayah atau bakal ayah supaya sentiasa melindungi anak-anak perempuan mereka. Be their superhero.

“Tiada maaf bagi pedofilia dan tempat paling baik untuk mereka adalah ‘mereput’ dalam penjara selama-lamanya.”

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mangsa pedofilia, trauma, raba

Artikel Lain