suria

Lalui 4 hari tanpa internet, pasangan baru kahwin ini akhirnya tiba di lokasi 'belakang' duit RM100...“Puas walau sakit badan”

Foto yang dikongsi Iqbal menerusi Twitter miliknya.

PENGEMBARAAN sepasang suami isteri ke Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak ternyata membawa 1001 kenangan.

Selain menikmati panorama indah, mereka juga sempat merakam foto di kawasan Gunung Api yang menjadi penghias kepada bahagian belakang wang kertas RM100.

Bercerita kepada mStar, pasangan Iqbal Fatkhi dan Syazana Yazid, mengakui masih lagi mengalami sakit-sakit badan selepas kembali dari destinasi percutian itu, Rabu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera Australia Dedah Rahsia Sesat Di Mulu

ARTIKEL BERKAITAN: Gua Baharu Ditemui Dekat Taman Negara Gunung Mulu - Adenan

Menurut Syazana, dia menanam hasrat untuk menawan Gunung Api memandangkan pernah mendaki Gunung Kinabalu, Sabah, sekitar dua tahun lalu.

"Ia memang ada dalam bucket list saya. Dua tahun lepas pernah naik Gunung Kinabalu. Orang kata, Gunung Api lagi mencabar, sebab tu saya nak cuba.

"Rasa puas hati bila berjaya sampai ke puncak. Pasal view saya tak kisah sangat. Bila dah dapat sampai, rasa bangga pun ada.

"Lepas ni mungkin nak pergi daki gunung di Nepal pula. Kat sana pun banyak gunung yang lawa-lawa," ujar jurutera berusia 25 tahun itu.

Sebelum turun tu, pemandu arah bagitahu pasal duit kertas RM100. Kami pun baru tahu. Jadi, kami keluarkan duit dan ambil gambar.

IQBAL

Kata Syazana lagi, perjalanan ke puncak Gunung Api mengambil masa selama empat jam dan mereka perlu meneruskan enam jam lagi perjalanan untuk turun.

Pasangan itu bermalam di tapak perkemahan di sekitar gunung itu selama tiga hari, bermula Ahad lalu.

Bercerita lanjut mengenai paparan di wang kertas RM100 itu, Iqbal, 26 berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenai paparan dalam wang kertas itu sewaktu berada di puncak Gunung Api.

Perkongsian Iqbal yang tular di Twitter.

"Sebelum turun tu, pemandu arah beritahu pasal duit kertas RM100. Kami pun baru tahu. Jadi, kami keluarkan duit dan ambil gambar," ujarnya.

Tambah Iqbal lagi, dia juga tidak sangka perkongsian foto itu menerusi laman Twitter akan menarik perhatian ramai.

Sehingga kini, ia menerima lebih 6,600 perkongsian daripada pelayar Twitter.

Mendirikan rumah tangga sekitar dua bulan lalu, Iqbal yang bertugas sebagai wartawan menyifatkan perjalanan ke Gunung Api sebagai mini honeymoon mereka.

Baru-baru ini, mereka sempat bercuti bersama ke Pulau Pinang dan Vietnam.

Selepas Gunung Api, mereka akan meneruskan perjalanan ke Bangkok, Thailand pula.

 

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain