Kejutan konvo cucu tersayang, comel je atuk nenek gayakan baju etnik Kenyah...“Semua tengok dari atas sampai bawah, segan pula saya” - Viral | mStar

Kejutan konvo cucu tersayang, comel je atuk nenek gayakan baju etnik Kenyah...“Semua tengok dari atas sampai bawah, segan pula saya”

Ummie (kanan) bersama datuk dan neneknya memakai pakaian bercorakkan etnik Kenyah.

KEPELBAGAIAN kaum dan etnik di Malaysia mempunyai latar belakang sosiobudaya yang berbeza.

Selain budaya, bahasa dan pakaian tradisional sesuatu kaum dan etnik mempunyai keunikan tersendiri.

Meraikan hari kejayaan Ummie Syuhada Ismail nyata berlainan apabila datuk dan neneknya hadir mengenakan pakaian bermotifkan corak etnik Kenyah pada majlis konvokesyen cucu kesayangan mereka.

"Saya tahu atuk dan nenek akan datang untuk majlis konvo tapi tak tahu mereka buat kejutan untuk memakai baju tradisi keluarga hingga membuatkan saya terharu.

"Mereka sengaja buat kejutan untuk saya kerana  saya cucu pertama yang konvo, jadi mereka mahu jadikan ia tradisi setiap kali meraikan kejayaan buat ahli keluarga.

"Pada hari kejadian, ibu bapa saya sepatutnya pakai baju sama macam atuk dan nenek, diorang dah bawa baju siap-siap untuk dipakai tapi tak sempat nak pakai sebab berbaris panjang di toilet," katanya ketika dihubungi mStar.


Bagi Ummie, satu kebanggan buat dirinya apabila ramai yang mahu lebih mengenali etnik Kenyah.

Datuk dan nenek Ummie yang berasal dari Bumi Kenyalang itu tampil dengan pakaian kemeja serta blaus yang diperbuat daripada kain batik pua kumbu.

Pakaian tradisi dijahit ibu saudara Ummie itu digayakan pada majlis konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 20 Ogos lalu.

Selain itu, bekas penuntut Institut Pendidikan Guru Kuching, Sarawak ini juga mendapat pujian ramai selepas mengenakan baju kurung yang dihiasi manik bercorak hasil sulaman tangan oleh ibu saudaranya.

Malah, setiap kali melangkah ke mana-mana sahaja pasti ada yang memuji pakaian yang diperagakan gadis ini.

"Sepanjang hari konvo itu, semua orang tengok pakaian saya dari atas sampai bawah, rasa segan pulak saya.

"Masa nak naik pentas ada beberapa pegawai yang cuba tahan saya semata-mata kerana berminat dengan baju itu.

"Paling terkejut bila ada yang request nak bergambar dengan saya sebab baju saya unik,"ujarnya sambil menambah dia berbangga dengan hasil jahitan ibu saudaranya itu.

Majlis konvokesyen yang diraikan Ummie (tengah) bersama keluarganya.

Sementara itu, Ummie yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengkhususan Matematik ini berkongsi perasaan teruja apabila diberi peluang menyarungkan pakaian yang melambangkan tradisi etnik keluarganya pada hari bersejarah itu.

Baginya, ia adalah satu kebanggan buat dirinya apabila ramai yang mahu lebih mengenali etnik Kenyah.

"Sebenarnya ramai yang masih tidak tahu tentang etnik Kenyah memandangkan ia adalah kumpulan minoriti di Malaysia.

"Dalam keluarga orang Ulu ini, ada banyak etnik antaranya Kenyah, Kayan dan Penan,"ujarnya.

Komen oleh netizen yang teruja melihat pakaian keluarga Ummie.


Dalam pada itu, posting yang dimuatnaik adik kepada Ummie menerusi akaun Twitternya menjadi perhatian netizen sehingga meraih hampir 1,600 ulang kicau dan 4,500 tanda suka.

Rata-rata netizen berbangga dengan kepelbagaian etnik di Malaysia dan mengucapkan tahniah kepada Ummie.

Ummie , Kenyah , UPM

Artikel Lain

Hamidin dipilih presiden MFL baharu