suria

Pelajar UPM terkejut, 90 minit sahaja dapat kutip lebih 2,000 puntung rokok di Putrajaya...“Jaraknya dua sentimeter satu sama lain”

Sejumlah 2,070 puntung rokok dikutip Alani dan rakan-rakannya di kawasan Presint 9, Putrajaya.

TABIAT merokok adalah antara gejala tidak sihat yang wajar dipantau terutama dalam kalangan anak muda, malahan membuang puntung rokok di merata tempat juga bukan satu tingkah laku yang bagus.

Bagi menjamin suasana persekitaran yang segar dan nyaman, tentu sekali setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab menjaga alam sekitar.

Usaha murni sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah Persatuan Pelajar Antarabangsa Ekonomi dan Sains Komersial (AIESEC) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Trash Hero mengutip puntung rokok di sekitar Putrajaya telah mendapat perhatian netizen dan ia tular baru-baru ini.

Alani Wahi Mohd Wahi atau mesra dengan panggilan Alani yang juga salah seorang wakil persatuan AIESEC menerusi postingnya di Twitter berkongsi pandangan apabila menganggap perbuatan membuang puntung rokok adalah sesuatu yang tidak bermoral.

"Ikutkan ini adalah projek yang pertama bersempena program musim panas untuk persatuan AIESEC bersama Trash Hero.

"Jadi kami rancang jalankan aktiviti mengutip puntung rokok di kawasan Putrajaya selepas bincang bersama-sama... bukan hanya puntung rokok je, sampah pun kami kutip sekali.

"Kali pertama saya rasai pengalaman mengutip puntung rokok dan saya tak sangka jumlah kutipannya sangat banyak," ujarnya ketika dihubungi mStar, Selasa.

Sejumlah 2,070 puntung rokok berjaya dikutip oleh Alani bersama 14 sukarelawan AIESEC dan dua fasilitator Trash Hero menjalankan aktiviti mengutip sampah di sebahagian kawasan di Presint 9, Putajaya bermula 8.30 pagi hingga 10 pagi.

Selain Putrajaya, Trash Hero turut fokus mengutip sampah di kawasan Cyberjaya dan Bangi.

Aktiviti mengutip sampah juga dilakukan oleh sekumpulan pelajar di bawah persatuan AIESEC.

Pelajar jurusan Sains dan Teknologi Alam Sekitar ini berkongsi pengalaman pertamanya mengutip puntung rokok, sekaligus membuatkan dirinya lebih peka terhadap kebersihan alam sekitar.

"Bila kami jumpa puntung rokok, jarak satu puntung rokok dengan puntung rokok yang lain hanya dua sentimeter (sm) sahaja.. sangat dekat dan membuatkan kami terkejut.

"Kami lihat banyak puntung rokok yang telah dibuang di luar kawasan food court.

"Selepas selesai kutip sampah dan puntung rokok, kami terus sama-sama mengira jumlah puntung rokok dalam 30 minit sahaja... dah habis kira, kami terus masukkan dalam plastik sampah dan buang di dalam tong sampah,"ujarnya yang kini menetap di Seri Kembangan, Selangor.

Alani bersama kumpulan persatuan AIESEC dan Trash Hero.

Puntung rokok juga banyak ditemui di kawasan seperti lot parkir kereta, hentian bas dan pokok-pokok di tepi jalan.

Fasilitator Trash Hero telah memaklumkan, jumlah puntung rokok yang dikutip Alani bersama rakan-rakannya telah memecah rekod jumlah yang pernah dikutip kumpulan pelajar lain.

Namun ia bukanlah satu berita yang menggembirakan kerana jumlah puntung rokok semakin meningkat.

Posting yang dimuatnaik Alani di Twitter menarik perhatian netizen.


Dalam pada itu, posting yang dimuat naik Alani telah menarik perhatian netizen sehingga meraih hampir 7,300 ulang kicau dan 3,800 tanda suka.

Rata-rata netizen memuji tindakan mulia Alani dan rakan-rakannya yang mengutip puntung rokok di sekitar Putrajaya.

"Tujuan saya post hanyalah untuk berkongsi di Twitter memandangkan ia kali pertama terbabit dalam aktiviti sebegitu.

"Saya harap masyarakat kita boleh sedar dan lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar selepas melihat posting saya yang jelas nampak jumlah puntung rokok yang banyak dibuang di merata tempat.

"Bagi saya, tabiat merokok bergantung kepada diri masing-masing tapi mereka harus tahu tanggungjawab untuk tidak membuangnya di merata tempat,"katanya.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Trash Hero, rokok, Putrajaya, UPM

Artikel Lain