suria

Demi Lawa, ibu rela dilabel sombong kerana halang anak didukung..."Mereka kata saya anggap anak macam bidadari"

Lawa berusia enam bulan semasa insiden itu berlaku.

TINGGAL seminggu sahaja lagi sebelum Syawal melabuhkan tirainya sudah tentu banyak undangan rumah terbuka yang perlu dipenuhi.

Waktu itu merupakan tempoh terbaik untuk merapatkan silaturahim sesama sanak saudara sama ada dekat mahupun jauh.

Namun kemeriahan meraikan sambutan itu bagaikan sedikit terganggu khususnya bagi mereka yang mempunyai anak kecil.

Antara senario biasa, ramai yang mahu mendukung dan menggomol kanak-kanak tanpa menyedari ia sebenarnya membahayakan nyawa dan kesihatan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengejutkan! 33 minggu dalam perut ibu koma, bayi membesar, selamat lahir walau ibu belum sedar “Doktor kata bayi kami ajaib”

ARTIKEL BERKAITAN: “Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

Menerusi perkongsian Saniah Zawani Mohammed Ameer di Facebooknya, dia terpanggil mendedahkan detik cemas dilalui anak bongsunya, Qhaulah Al Azwar Mohd Ezri atau Lawa yang mengalami batuk berdarah selepas dipegang mereka yang berkunjung ke rumah mereka semasa kenduri aqiqah anaknya.

"Insiden tu berlaku sekitar Mei 2018. Waktu tu saya buat aqiqah Lawa masa umur enam bulan dengan sambutan hari jadi kakak dia sekali. Saya jemput anak-anak tahfiz dan anak-anak yatim lebih kurang 300 orang masa tu.

Lawa kurang sihat selepas didukung orang ramai yang berkunjung ke rumah mereka.

"Malam kenduri tu Lawa dan mula bersin. Saya sibuk jadi memang tak pegang dia tapi saya tengok ada yang pegang dia hand to hand cuma tak tahu berapa ramai," katanya kepada mStar.

Sebaik sahaja tetamu pulang, wanita berusia 29 tahun itu berkata anak bongsunya itu mengalami sesak nafas meskipun sudah diberikan ubat demam sebelum itu.

"Mulanya kami bagi ubat demam, ingatkan akan ok tapi dia start batuk dan sesak nafas. Jadi saya hubungi klinik tempat dia bersalin dekat Muar, Johor. Mereka minta saya datang bawa Lawa dengan segera.

"Tiba-tiba masa tengah bersiap dia muntah susah. Dalam muntah ada darah sikit. Doktor pakar kanak-kanak tengok dan kalau boleh nak tahan wad tapi masa tu tak ada insurans perubatan.

"Kos agak mahal lebih kurang RM800 hingga RM900 semalam bergantung pada ubat. Mahal tu dan kami tak mampu. Doktor pun bagi ubat dan nasihatkan kami pergi ke hospital berdekatan kalau dia masih muntah berdarah lagi," katanya.

Semasa di rumah, Saniah atau lebih mesra disapa Nia berkata anaknya tiba-tiba muntah berdarah semula dengan keadaan mencungap serta muka bertukar kebiruan.

Nia mengadakan kenduri aqiqah Lawa dan sambutan hari lahir anak keduanya, Qhansa Al Salsabella.

"Saya dan suami bergegas pergi ke wad kecemasan Hospital Besar Melaka. Semasa dalam perjalanan dia tertidur sebab doktor sebelum tu dah sumbat ubat punggung.

"Tiba giliran dekat emergency mereka check kata nampak macam ok. Mereka nampak darah pada tuala dan beritahu ia fresh blood. Jadi mereka syak ada luka sedikit dekat kawasan tekak. Jadi saya pun lega. Kami pun dibenarkan balik.

"Dalam perjalanan nak ke kereta tiba-tiba Lawa bangun dan batuk-batuk. Dia terus sesak nafas dan darah mengalir laju. Saya pun berlari dan kebetulan ada petugas dekat tepi van kecemasan, mereka terus tekan buzzer ke zon merah," katanya.

Saya juga terpaksa hadap sindiran saudara mara tahun lepas. Semuanya gara-gara tak bagi dukung Lawa sebab doktor dah pesan macam tu. Mereka kata kau dengarlah cakap doktor tu.

SANIAH ZAWANI MOHAMMED AMEER.

Pengusaha butik pengantin.

Sebaik tiba di zon merah, Nia yang berasal dari Melaka panik dengan keadaan anaknya itu.

"Saya memang trauma sebab anak kedua saya meninggal semasa dalam kandungan lapan bulan. Jadi bila tengok keadaan Lawa saya jadi panik.

"Doktor angkat Lawa dan bagi bantuan pernafasan di hadapan saya. Masa tu saya cakap doktor cepat doktor sebab Lawa dan pucat.

"Doktor minta saya bertenang dan mengucap. Ada dua doktor muda tanya baby ada jatuh tak atau saya dan suami ada masalah sebab mereka takut ada unsur penderaan. Last mereka tak nampak patah atau pun wujud unsur penderaan selepas X-Ray," katanya.

Doktor mengesahkan Lawa mengalami luka di bahagian tekak akibat batuk melampau.

Susulan itu, Nia yang juga pengusaha butik pengantin dimaklumkan doktor bahawa anaknya disyaki terkena jangkitan kuman daripada orang lain.

"Mereka tanya ada tak anak saya dipegang orang tak sihat, batuk teruk dan selesema atau ada tak bapa dia lepas merokok terus pegang dia. Masa tu lah saya buka cerita bahawa saya ada buat kenduri.

"Lawa kena tahan dua minggu. Doktor scan juga takut ada ketumbuhan ke apa tapi Alhamdulillah dia tak ada apa-apa masalah. Tapi dia mengalami luka pada tekak sebab batuk terlampau kerap ditambah pula dengan selesema," katanya.

Sejak insiden itu, Nia berkata dia tidak lagi berani membiarkan sesiapa sahaja memegang atau mendekati anaknya.

"Saya terpaksa bersikap tegas demi anak. Kalau tidak benda ini akan berulang lagi dan doktor kata tak mustahil jadi lagi teruk.

"Saya juga terpaksa hadap sindiran saudara mara tahun lepas. Semuanya gara-gara tak bagi dukung Lawa sebab doktor dah pesan macam tu. Mereka kata kau dengarlah cakap doktor tu.

Nia bersama Lawa yang kini sudah berusia setahun enam bulan.

"Orang dulu tak ada pun pantang macam ni... macam kau seorang je ada anak. Kalau kau tak nak bagi orang pegang anak kau tak payahlah datang beraya," kata Nia mengimbau kata-kata saudaranya.

Pada masa sama, Nia turut kesal dengan sikap orang ramai yang ambil remeh perkara tersebut.

"Selepas Lawa keluar hospital saya memang tak bagi tetamu datang melawat. Mereka kata saya sombong dan anggap anak saya macam bidadari.

"Saya kecewa sebab mereka masih tak faham. Anak adalah amanah Allah. Jadi saya sebagai ibu ada hak untuk melindungi dia kerana bila dia sakit bukan mereka yang tanggung risikonya," kata wanita itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain