“Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus - Viral | mStar

“Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

Elaina yang dilahirkan pada 19 Oktober 2018 mendapat perhatian netizen selepas posting mengenai penyakitnya tular di media sosial.

DILAHIRKAN pramatang pada usia kandungan mencecah lapan bulan, kehadiran pasangan kembar Elaina Sophea dan Eshal Sophea Muazd ternyata menjadi penyeri buat keluarga.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari melihat dunia, Elaina mengalami jangkitan kuman dan disahkan menghidap hydrocephalus, penyakit yang menyebabkan kepalanya membesar.

Ibu kepada pasangan kembar itu, Nadrah Atiqah Mazlan, 28, mengakui sedih dengan nasib yang menimpa anaknya.

Namun, dia sentiasa berharap agar Elaina yang kini mencecah usia lima bulan kembali pulih memandangkan anaknya itu bakal menjalani pembedahan tidak lama lagi.

“Tipulah kalau tak sedih, dulu menangis setiap hari. Lama-lama saya pun OK, sebab Elaina pun sihat je, dah pandai borak-borak sekarang.

“Dua bulan sembilan hari dia di hospital, selepas itu dia akan masuk ke wad seminggu sekali untuk buang air dari kepala secara manual.

“Kemungkinan dia akan menjalani pembedahan pada minggu ini atau minggu depan, tarikh belum ditetapkan lagi,” ujar Nadrah sewaktu dihubungi mStar Online pada Isnin.

Elaina (depan) bersama pasangan kembarnya, Eshal.

Nadrah berkata dia kini bertugas sebagai Pembantu Sumber Manusia di sebuah syarikat di ibu negara manakala suaminya sudah berhenti kerja sekitar Disember lalu.

Ia berikutan anaknya memerlukan pemerhatian rapi dan dia juga gusar untuk meletakkan Elaina di bawah jagaan pengasuh.

“Suami saya yang jaga, dia berhenti kerja sebab syarikat dia juga kurang stabil. Apabila balik kerja, saya pula yang bergilir jaga anak. Tak berani nak bagi orang lain jaga,” kata Nadrah lagi.

Bercerita mengenai pasangan kembar Elaina dan Eshal, Nadrah berkata tiada perbezaan ketara antara dua anaknya itu.

Biarpun sakit, Elaina merupakan anak yang bagus dan tidak banyak meragam.

“Mereka berdua sama sahaja. Tapi mestilah Elaina perlu diberi perhatian lebih sikit.

Muazd dan Nadrah bersama bayi kembar mereka.

“Tapi dia pun tak banyak meragam, sebab dia tak ada sakit lain pun melainkan hydrocephalus itu sahaja,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, posting mengenai Elaina yang dimuat naik oleh ibu saudaranya pada Jumaat lalu menerima lebih 13,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, rata-rata netizen turut membanjiri posting berkenaan dan memberikan kata-kata positif serta mengirim doa buat Elaina.

Mengulas hal itu, Nadrah mengakui terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan anaknya.

“Memang tak sangka, saya sangat berterima kasih sebab mereka doakan anak saya. Kepada ibu-ibu lain yang yang senasib dengan saya, kena sentiasa kuat dan tabah.

“Bayi tahu kalau kita sedih, jadi kita kena sentiasa kuat untuk mereka,” katanya lagi.

Elaina dan Eshal dilahirkan pada 19 Oktober tahun lalu di Hospital Kajang, Selangor.

Mereka merupakan kelahiran pertama pasangan Nadrah dan Muazd yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2018.

Artikel Lain