JABATAN Imigresen Malaysia menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun, berkuat kuasa serta-merta.Menerusi kenyataan pada Rabu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata keputusan itu dibuat susulan isu tular membabitkan beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun, yang mengalami kesulitan ketika melakukan perjalanan ke luar negara. "Jabatan Imigresen sudah merujuk perkara ini kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun."Walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara," ujarnya.ARTIKEL BERKAITAN: Pasport Malaysia di tangga ke-12 paling berkuasa di dunia, sedia akses bebas visa ke 182 destinasi globalJusteru, bagi menangani kekeliruan berkenaan, Jabatan Imigresen menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja."Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan," katanya.Zakaria menambah, pengeluaran PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama syarikat penerbangan dan ICAO.Ujarnya, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun."Pemegang PMA yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport."Jabatan Imigresen akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara."Jabatan Imigresen komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat selain memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur," ujarnya lagi. Terdahulu, tular di media sosial beberapa perkongsian oleh warga Malaysia yang mendakwa disekat untuk menaiki penerbangan ketika melakukan perjalanan di luar negara disebabkan tarikh sah PMA melebihi tempoh maksimum 10 tahun.