TEKANAN serta kecaman hebat netizen susulan penularan video dipercayai mengandungi unsur penghinaan terhadap warga China ketika bercuti akhirnya, mendorong wanita yang terlibat tampil memohon maaf secara terbuka.Tambahan pula terdapat netizen yang berkongsi beberapa laporan berita dari luar negara yang meluahkan reaksi kurang senang dengan insiden tersebut. Menyedari video pendeknya terus menjadi bualan dan kritikan warga maya, Nur Asyiqin Mohd Dalil tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selain mengakui kekhilafan tingkah lakunya itu berlaku secara spontan.ARTIKEL BERKAITAN: Video bercuti di China tular, wanita ambil tindakan undang-undang terhadap pemfitnah"Saya dengan rendah serta seikhlas hati ingin memohon maaf atas isu yang tular iaitu kekhilafan reaksi spontan ketika bercuti di negara China pada 15 Jun lepas. "Saya faham dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang menimbulkan ketidakselesaan kepada mana-mana pihak."Saya menghormati pandangan, teguran dan perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat untuk menyinggung, mengaibkan atau menimbulkan sebarang konflik kerana ketika itu hanyalah reaksi spontan yang bukanlah dirancang," jelasnya menerusi akaun TikTok @ekyn_wong pada Sabtu.Permohonan maaf yang diterbitkan di laman TikTok peribadinya.Pada masa sama, Nur Asyiqin menyatakan, dia menerima dan mengambil maklum setiap teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka selain mengakui rasa kesal atas perbuatan dilakukan."Saya menginsafi akan tindakan saya yang keterlaluan. Daripada insiden ini, saya akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan saya, dan akan lebih peka kepada sensitiviti masyarakat awam."Akhir kata, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. "Saya berjanji akan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab pada masa akan datang," jelasnya lagi. Nur Asyiqin menjadi perhatian ramai selepas video percutiannya di China tular kerana membuat kenyataan menghina penduduk tempatan dengan menutup hidung sambil menyebut ‘busuk serta mendakwa penduduk di negara itu ‘tidak mandi’.Rakaman tersebut mencetuskan kritikan daripada netizen di Malaysia dan China, sekali gus mencetuskan perdebatan meluas di media sosial. Susulan kontroversi tersebut, dia dilaporkan mahu tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadapnya.