Seorang pelajar perempuan maut dipercayai selepas terjatuh bangunan sekolahnya dalam kejadian Jumaat pagi.
SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah menengah di Sendayan, Negeri Sembilan pada Jumaat dipercayai tidak berdepan sebarang unsur buli atau gangguan lain.Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh setakat ini, tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan tragedi tersebut dengan insiden buli. Malah menurutnya, hasil keterangan daripada ibu mangsa mendapati remaja berkenaan hadir ke sekolah dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku yang pelik.Azam berkata, kejadian itu berlaku ketika sekolah mengadakan program pelaporan pencapaian akademik yang turut dihadiri ibu bapa untuk memaklumkan perkembangan anak masing-masing."Bapa arwah (mangsa) juga berada di sekolah bersama (sewaktu kejadian). Cuma takdir menentukan sewaktu bapa datang ke kelas... arwah minta izin keluar kelas untuk ke tandas dan kemudian kemalangan ini berlaku," katanya.Azam (kiri) dan Fadhlina (dua dari kanan) ketika melawat ibu bapa mangsa di unit forensik pada malam selepas kejadian. Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada Jumaat malam.Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah meneliti kes itu secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.Azam turut berharap orang ramai tidak menyebarkan gambar atau rakaman kejadian demi menghormati perasaan keluarga mangsa.Menurutnya, JPNS turut menyediakan sokongan psikososial kepada ahli keluarga mangsa, rakan sekelas dan guru yang terkesan dengan tragedi berkenaan.Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10.48 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.Alzafny berkata, polis menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian selain mengenal pasti beberapa individu yang boleh membantu siasatan.Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.