SEORANG penghantar makanan ditahan polis selepas disyaki mencuri wang tunai RM10,000 yang terdapat di dalam dompet milik seorang wanita warga China di sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor. Kejadian tular itu memaparkan wanita berkenaan mendakwa kehilangan dompet mengandungi wang tunai tersebut ketika berada di premis berkenaan.Difahamkan, wanita itu kemudiannya bertemu seorang lelaki mendakwa menemui dan memulangkan dompet miliknya, namun wang tunai yang disimpan di dalam dompet tersebut didakwa telah hilang.Susulan itu, satu laporan polis dibuat berhubung kehilangan wang berkenaan.Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.37 malam Rabu.Menurut Naazron, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang di sebuah pasar raya di Semenyih dan polis turut mengesan satu video berdurasi tujuh minit 11 saat berkaitan kes itu yang tular di TikTok."Hasil siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan pada pukul 1 pagi Khamis."Suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan direman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-8911 4243 bagi membantu siasatan. -The Star