suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Cubaan potong lori tak lepas! Pikap rempuh dua kenderaan bertentangan… Ragut nyawa doktor, anak kecil serta pegawai kanan LHDN

Antara kenderaan terbabit dalam kemalangan berlaku di Chini pada Jumaat petang.

TIGA individu termasuk seorang pegawai perubatan dan anak perempuannya berusia dua tahun maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Chini, Pekan, Pahang pada Jumaat.

Turut terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu ialah seorang pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pegawai perubatan Hospital Segamat, Johor, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya, Dhea Sofia, 2, serta Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, nahas berkenaan turut menyebabkan enam lagi mangsa mengalami kecederaan membabitkan tiga penumpang kereta, dua penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) serta pemandu pikap.

Zaidi berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta dipandu Mohamad Zekry Zuhairy bersama MPV yang dipandu Azaharuddin sedang dalam perjalanan dari Segamat menghala ke Kuantan, manakala sebuah pikap dipandu lelaki berusia 31 tahun datang dari arah bertentangan.

"Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berlaku selepas pikap terbabit cuba memotong sebuah lori.

"Bagaimanapun kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan serta bertembung dengan kereta dan MPV dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan MPV meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Zaidi, seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Klinik Kesihatan Chini.

Manakala, tiga lagi mangsa yang cedera terdiri daripada isteri Dr Mohamad Zekry Zuhairy yang juga pegawai perubatan Hospital Segamat, Dr Hana Ibrahim, 35, selain ibu dan bapa mangsa masing-masing berusia 80 serta 72 tahun.

Turut cedera, penumpang MPV iaitu isteri Azaharuddin, Fatimah Awing Kechik, 46, anaknya Aiman Faez Al-Amini, 15.

Kesemua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Pekan, manakala jenazah tiga mangsa yang maut dihantar ke hospital sama bagi menjalani proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Artikel Lain