SEORANG datuk yang tular kerana salah laku seksual terhadap dua cucu perempuannya dihukum penjara 33 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Jumaat.Susulan pengakuan tersebut, tertuduh yang berusia 67 tahun itu turut menerima 14 sebatan. Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Hakim Mohd Khairi Haron selepas tertuduh mengaku bersalah atas lima pertuduhan membabitkan rogol dan serangan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan yang dilaporkan berlaku tahun lalu.Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraannya serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap cucu tirinya di sebuah rumah di Parit Raja Tengah, Batu Pahat, pada Januari dan Disember tahun lalu.Dia turut berdepan dua pertuduhan merogol mangsa yang sama di lokasi dan tempoh yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap adik mangsa yang berusia sembilan tahun di lokasi sama pada tahun lalu.Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan.Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan faktor usia selain mendakwa insaf dan menyesali perbuatannya.Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius serta melibatkan hubungan kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan mangsa.Untuk rekod, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian yang dialaminya kepada ibu mereka sebelum laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu.Malah pengakuan tersebut tular susulan ibu mangsa mendedahkannya di media sosial bagi memastikan kes berkaitan anaknya diadili dengan sewajarnya.