suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

[V] Usahawan dakwa video lawatan ke ‘Rimba KLIA’ disunting, cubaan wujud naratif mengelirukan

Ivory berkongsi pengalaman ketika berkunjung ke Rimba yang berlokasi di KLIA Terminal 1.

USAHAWAN Ivory Xianz tampil memberi penjelasan susulan kontroversi membabitkan video lawatannya ke Rimba Jungle Boardwalk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang sedang tular di media sosial.

Ivory yang juga pengasas jenama HYGR berkata, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti didakwa dalam hantaran di Threads yang disunting sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Menurutnya, dia juga tidak pernah memberi gambaran Malaysia merupakan sebuah negara yang lemah, ketinggalan atau tidak mampu menawarkan pengalaman bertaraf dunia dalam video [Tonton Video] yang dimuat naik pada Rabu lalu. 

"Dalam video sedang tular ketika ini, telah disunting secara terpilih, beberapa bahagian penting perbualan dipotong sehingga mewujudkan naratif mengelirukan dan tidak menggambarkan pandangan sebenar saya.

"Malangnya, perkara ini telah menimbulkan persepsi bahawa saya mengkritik Malaysia atau Rimba, sedangkan itu bukanlah maksud saya sama sekali. 

"Saya memohon maaf sekiranya video tersebut telah menimbulkan sebarang tanggapan yang salah yang tidak pernah saya niatkan," katanya.

Tangkap layar video yang dikongsikan di media sosial Ivory.

Mengulas lanjut, Ivory berkata tujuan asal perkongsian itu adalah untuk membincangkan pengalaman pelanggan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan secara membina, bukannya memperlekehkan Malaysia atau mana-mana perniagaan tempatan.

"Sebagai usahawan Malaysia, saya sentiasa berbangga menyokong serta membangunkan jenama tempatan, dan percaya bahawa maklum balas yang membina adalah penting untuk membantu industri kita terus berkembang dan menjadi lebih baik.

"Saya dengan rendah hati meminta orang ramai untuk merujuk kepada konteks penuh dan versi yang tidak disunting sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai niat atau pandangan saya," katanya.

Dalam kenyataan sama, Ivory memaklumkan sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melindungi nama baik serta reputasi HYGR daripada sebarang bentuk manipulasi maklumat.

Di ruangan komen, seorang individu yang mendakwa syarikatnya bertanggungjawab menghasilkan replika burung enggang dan bunga rafflesia di Rimba turut tampil memberikan sokongan terhadap penjelasan dibuat Ivory.

Menurut individu berkenaan, pemasangan karya tersebut mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan oleh pasukan tempatan dan sememangnya dihasilkan sebagai replika artistik, bukannya objek sebenar.

"Hi, saya cuma nak berkongsi, syarikat kami sebenarnya menghasilkan pemasangan burung enggang dan bunga rafflesia di Rimba. Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan oleh pasukan kami di Malaysia.

"Kami faham ia sememangnya dihasilkan sebagai replika artistik, bukannya yang sebenar. Terima kasih juga kerana menjelaskan konteks penuh perkara ini," tulisnya di ruangan komen.

Untuk rekod, video didakwa telah disunting itu bagaimanapun sudah dipadamkan oleh individu yang memuat naik hantaran berkenaan selepas ia tular sejak Khamis.

Artikel Lain