SENARAI calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan kini 99 peratus muktamad.Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PKR dijangka mempertaruhkan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan 16 lagi di Negeri Sembilan, dengan perbincangan mengenai senarai akhir kini berada di peringkat akhir. "Calon-calon sudah 99 peratus dimuktamadkan. Insya-Allah pengumuman bagi Johor akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.Fuziah berkongsi perkara itu pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Program Jualan Rahmah di sebuah pasar raya besar di Taman Daya, Johor Bahru, Johor, pada Jumaat.Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, senarai calon PKR kali ini akan menampilkan gabungan seimbang antara pemimpin berpengalaman dan muka baharu, selain memberi ruang kepada golongan wanita serta belia."Akan ada keseimbangan antara muka lama dan baharu, termasuk calon wanita serta golongan muda. Tunggu sahaja pengumuman rasmi," katanya ketika ditanya mengenai komposisi calon.Bagaimanapun, Fuziah enggan mendedahkan peratusan muka baharu yang bakal diketengahkan di kedua-dua negeri itu.Mengulas rundingan agihan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH), Fuziah berkata, beberapa isu melibatkan kawasan tertentu termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa telah diselesaikan di peringkat tertinggi gabungan berkenaan."Itu adalah tuntutan Amanah, namun rundingan kerusi sudah diselesaikan di peringkat tertinggi," katanya, sekali gus memberi bayangan kerusi berkenaan dijangka diperuntukkan kepada PKR pada PRN akan datang.Pada Rabu lalu, Amanah Johor menafikan dakwaan parti itu bersetuju menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada PKR.Naib Pengerusinya, Dr Zuhan Zain berkata, Amanah Johor tidak pernah membuat sebarang keputusan atau persetujuan untuk melepaskan hasrat bertanding di kerusi berkenaan.Menurutnya, Amanah Johor telah membuat persiapan awal serta menggerakkan jentera pilihan raya bagi merampas semula kerusi itu yang sebelum ini dipinjamkan kepada Muda pada PRN Johor 2022 atas semangat kerjasama politik ketika itu. -The Star