suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

PN bergolak lagi! Ketua Penerangan Bersatu dedah ‘rahsia’ pimpinan PAS, desak tinggalkan gabungan jika rindu Muafakat Nasional

Tun Faisal tegas dalam menyatakan pendiriannya.

KETEGANGAN dalam Perikatan Nasional (PN) terus menjadi perhatian apabila Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan supaya PAS meninggalkan gabungan itu dan membentuk kerjasama politik baharu menggunakan logonya sendiri.

Menurutnya, PAS dilihat tidak pernah benar-benar komited terhadap PN dan didakwa terlibat dalam beberapa rundingan politik di luar pengetahuan Bersatu serta kepimpinan gabungan tersebut.

Tun Faisal turut mendakwa, PAS sebelum ini beberapa kali menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Umno.

Malah dakwanya, wujud pertemuan antara pemimpin PAS dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan Bersatu atau PN.

Katanya, sekiranya dakwaan PAS mengadakan rundingan dengan Umno dan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang adalah benar, parti itu sepatutnya keluar secara sukarela daripada PN dan bekerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional.

"Jika khabar-khabar angin ini benar, tidak wajar untuk Pas terus mempengerusikan PN.

"Bukankah itu lebih baik daripada PAS dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu terus kekal dalam gabungan ini?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tun Faisal turut berpandangan Bersatu perlu terus memimpin PN bersama parti komponen dan sekutu sedia ada bagi memastikan kesinambungan serta identiti gabungan tersebut terus terpelihara.

Beliau juga mendakwa PAS tidak setia kepada PN apabila lebih mengutamakan penggunaan logo parti itu berbanding logo gabungan berkenaan dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, Tun Faisal mengkritik peranan kepimpinan PAS dalam PN dengan mendakwa beberapa keputusan penting termasuk rundingan kerusi dan persiapan pilihan raya mengambil masa yang terlalu lama untuk dilaksanakan.

Menurutnya lagi, identiti PN sebagai gabungan politik yang lebih inklusif turut terjejas apabila imej 'biru' yang sinonim dengan gabungan itu semakin dikaitkan dengan jenama 'hijau' PAS.

Ia sekali gus menyukarkan usaha menarik sokongan parti bukan Melayu dan kumpulan politik lain. -The Star

Artikel Lain