suria

PTPTN umum dividen Simpan SSPN 4.10 peratus, tertinggi dalam 11 tahun!

Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (kiri), bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menyempurnakan gimik pengumuman dividen Simpan SSPN 2025.

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membawa khabar gembira buat para pendeposit apabila mengumumkan agihan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 4.10 peratus bagi tahun 2025. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, menyatakan bahawa kadar ini merupakan angka tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 11 tahun terakhir.

Kenaikan ini secara tidak langsung memberikan pulangan yang lebih kompetitif dan menguntungkan buat mereka yang menabung untuk pendidikan. 

“Dividen Simpan SSPN bagi tahun 2025 ialah sebanyak 4.10 peratus melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta yang memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dividen adalah sebanyak RM2.63 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004,” kata Norliza di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

Peningkatan kadar dividen ini didorong oleh strategi pelaburan patuh syariah yang mampan, khususnya melalui instrumen pasaran wang dan sukuk tempatan memelihara prinsipal, di samping tawaran pulangan yang kompetitif.

Menurut PTPTN, prestasi ini turut mencerminkan kecekapan pengurusan dana di bawah kepimpinan Datuk Seri Norliza Abdul Rahim serta sokongan pengurusan organisasi, selain mendapat sokongan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Kepercayaan Pendeposit terus meningkat

Pada tahun 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.33 bilion. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM154.10 juta atau 4.86% berbanding pencapaian tahun 2024 iaitu sebanyak RM3.17 bilion.

Selain itu, lebih 500,000 pembukaan akaun baharu juga telah direkodkan pada tahun lalu. Ini menjadikan keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Disember 2025 adalah berjumlah 

RM23.88 bilion.

Selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan lain yang ditawarkan dan paling menarik: 

  • Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun. 
  • Perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, 
  • Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, 
  • Simpanan yang dijamin Kerajaan dan;
  • Patuh syariah.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan juga telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua (2) tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI). Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.

Mudah semak melalui aplikasi

Pendeposit tidak perlu menunggu lama kerana agihan dividen akan dikreditkan terus ke akaun Simpan SSPN masing-masing dan boleh membuat semakan penyata simpanan melalui aplikasi myPTPTN bermula 7 Mei 2026.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi 

www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Artikel Lain